- Iklan -
Berita

'Orang miskin tidak perlu negara': Mahathir bidas kerajaan sekali lagi

Bekas perdana menteri berkata beliau kini tidak dapat bercakap mengenai cabaran yang dihadapi oleh orang Melayu walaupun di negaranya sendiri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini mengecam pihak berkuasa yang dakwanya berulang kali cuba menghalang beliau daripada bersuara mengenai masalah dihadapi orang Melayu, beberapa hari selepas menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim cuba menyekat perbezaan pendapat. 

Bekas perdana menteri itu dalam satu kenyataan yang diselitkan dengan puisi berbaur sindiran, berkata beliau menjadi takut kerana kini tidak dapat bercakap mengenai nasib orang Melayu di negaranya sendiri.

“Tidak boleh berjumpa pun,” tambahnya.

“Tidak ada tempat. Semua tolak. Empat kali kena tolak ‘atas arahan pihak atasan’.

“Nak lancar proklamasi orang Melayu tanpa sentuh kaum lain, itu hasutan.

“Saya takut. Nak guna sosial media ini bolehkah? Akan dituduh menghasutkah?”

Kenyataan Mahathir hari ini dibuat lebih seminggu selepas beliau mendakwa Anwar menjadi dalang kepada pembatalan secara mengejut majlis Proklamasi Melayu yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata antara lain media sedang "ditapis", dan sebarangan unsur negatif berkaitan kerajaan tidak dibenarkan.

Anwar bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas bekas mentornya di kongres PKR baru-baru ini.

"Ada orang, selepas 22 tahun ditambah 22 bulan kini bercakap mengenai nasib orang Melayu.

“Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu. Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat,” kata Anwar.

Mahathir bagaimanapun berkata orang Melayu jatuh miskin selepas beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, sambil menambah beliau sudah cuba membetulkan keadaan ketika memegang jawatan tertinggi itu untuk kali kedua di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mahathir berkata, beliau memohon maaf jika dakwaannya salah.

“Jika salah saya mengeluh tentang nasib orang Melayu, tak apalah,” katanya.

“Saya tidak lagi akan mengeluh. Okaylah.

“Orang miskin tidak perlu negara. Jangan buat apa-apa. Itu hasutan.”