- Iklan -
Berita

Tak salah jatuhkan Anwar seperti Muhyiddin, kata Mahathir

Bekas perdana menteri itu berkata sememangnya wujud hak sedemikian dalam kalangan wakil rakyat untuk menukar kerajaan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, 28 Mac.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, 28 Mac.

Tidak menjadi kesalahan sekiranya ahli-ahli Parlimen kerajaan mahu menjatuhkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim seperti yang pernah berlaku kepada Muhyiddin Yassin, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata sememangnya wujud hak sedemikian dalam kalangan wakil rakyat untuk menukar kerajaan.

"Dan ianya tak langgar apa-apa undang-undang,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Katanya, sesebuah kerajaan yang tidak ditadbir dengan baik boleh dijatuhkan oleh ahli-ahli parti dalam gabungan kerajaan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita sama ada kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu bertahan sehingga habis penggal. 

Katanya, ahli-ahli parti yang sepatutnya menjayakan kerajaan itu dan memilih parti atau pemimpin baru yang lain. 

Katanya, inilah yang berlaku sewaktu Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) menjadi perdana menteri. 

"Masa tu Umno tak puas hati. 

“Umno tarik sokongan dan ganti dengan pemimpin Umno," katanya.

Pada Ogos 2021, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai perdana menteri selepas hilang sokongan majoriti ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan Pakatan Harapan (PH).

Jawatan itu kemudiannya diisi oleh pemimpin Umno, Ismail Sabri Yaakob sehingga pembubaran Parlimen pada hujung tahun lalu.