- Iklan -
Berita

Saya tidak tutup pusat tajaan Arab Saudi, kata Mahathir

Kenyataan dikeluarkan selepas Anwar Ibrahim berkata beliau tidak bersetuju dengan keputusan untuk menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Arab Saudi berkibar di atas bangunan konsulat negara itu di Istanbul, 20 Oktober 2018. Gambar: Reuters
Bendera Arab Saudi berkibar di atas bangunan konsulat negara itu di Istanbul, 20 Oktober 2018. Gambar: Reuters

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu mengenai penutupan sebuah pusat yang ditaja Arab Saudi pada 2018.

Ia berikutan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengkritik tindakan menghentikan pusat itu sewaktu penggal kedua pemimpin veteran tersebut di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Saya tak tau berkenaan dengan penutupan pusat ini. Yang saya tahu, baru-baru ini dilaporkan bahawa pusat itu ditutup. 

“Siapa yang tutup, saya tak tau," katanya kepada pemberita hari ini, merujuk kepada Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang ditutup pada 2018. 

Kenyataan Mahathir itu dikeluarkan selepas Anwar berkata beliau tidak pernah bersetuju dengan langkah menutup pusat itu, yang pertama kali dicadangkan oleh raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz semasa lawatannya ke Malaysia pada 2017. 

Selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) setahun kemudian, menteri pertahanan ketika itu Mohamad Sabu dilaporkan oleh Al Jazeera sebagai berkata pusat itu diarahkan menghentikan operasi serta-merta. 

Laporan itu juga mengatakan bahawa tiada alasan diberikan oleh Mohamad berhubung penutupan pusat itu.