- Iklan -
Berita

Kerajaan muktamad dasar, rang undang-undang nyahjenayah cubaan bunuh diri

Timbalan menteri Ramkarpal Singh berkata rang undang-undang itu mungkin akan dibentangkan semasa sesi Parlimen ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berucap di Dewan Rakyat, 22 Mac. Gambar: Bernama
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berucap di Dewan Rakyat, 22 Mac. Gambar: Bernama

Kerajaan sedang memuktamadkan ketetapan dasar dan beberapa rang undang-undang dalam usaha menyahjenayah kesalahan percubaan membunuh diri. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata perkara ini susulan kajian dijalankan oleh Jabatan Peguam Negara berkaitan kesalahan percubaan membunuh diri di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan cadangan pemansuhannya. 

Beliau berkata kajian itu telah meneliti pendekatan yang diambil di beberapa negara bagi menilai justifikasi dan implikasi pelaksanaannya dari segi perundangan.

"Sejak Disember 2022, saya telah mempengerusikan 10 sesi libat urus dan pihak berkepentingan termasuk agensi-agensi kerajaan, Ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Kementerian Dalam Negeri di Singapura bagi meneliti dan menyelesaikan kesemua perkara perundangan yang berbangkit dalam usaha ini. 

"Sebagai langkah seterusnya, satu Memorandum Jemaah Menteri berkenaan usaha ini akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat untuk kelulusan dan kesemua rang undang-undang berkenaan akan dibentang di Parlimen untuk perbahasan dan kelulusan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.  

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai perkembangan pengumuman kerajaan untuk meminda Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk menyahjenayah percubaan membunuh diri bagi menangani isu peningkatan cubaan bunuh diri.

Ramkarpal berkata pihaknya menjangkakan rang undang-undang itu akan dibentang dalam persidangan kali ini.

Beliau berkata isu cubaan membunuh diri ini perlu dikendalikan sebagai isu kesihatan awam dan bukannya sebagai satu kesalahan jenayah memandangkan kajian menunjukkan individu yang mengalami kemurungan mempunyai risiko 20 kali ganda tingkah laku bunuh diri dan mengalami kematian akibat bunuh diri.

"Pendekatan ini juga adalah selaras dengan kedudukan antarabangsa iaitu menurut Pengelasan Penyakit Antarabangsa (ICD) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), percubaan bunuh diri diklasifikasikan sebagai satu penyakit dan dikodkan sebagai ICD 11 - MB23.R.

"Percubaan bunuh diri iaitu seperti keterangannya adalah satu episod tingkah laku mencederakan diri yang dilakukan dengan niat yang penuh kesedaran untuk mengakhiri nyawa individu itu sendiri," katanya.

Ramkarpal berkata individu yang cuba membunuh diri perlu dibawa ke hospital bagi mendapatkan penilaian lanjut dan diberi rawatan sewajarnya dan tidak seharusnya disabit dengan jenayah kerana mereka berada dalam keadaan mental yang tidak stabil.