- Iklan -
Berita

Kumpulan anti tembakau, hak asasi kanak-kanak saman menteri kesihatan

Mereka berkata Dr Zaliha Mustafa melanggar Akta Racun 1952 serta komitmen antarabangsa Malaysia selepas menyahsenaraikan cecair nikotin.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa. Gambar: Bernama

Badan pemikir kesihatan dan hak asasi kanak-kanak memfailkan saman terhadap Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dan kerajaan kerana menyahsenaraikan cecair nikotin daripada Akta Racun 1952 walaupun mendapat bantahan keras daripada penyokong dasar kesihatan awam. 

CodeBlue melaporkan Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), yang mewakili lebih 40 pertubuhan, Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA), dan Voice of the Children (VoC) memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Jun.

Mereka memohon perintah untuk membatalkan nyahsenarai cecair nikotin sebagai racun berjadual.

Mereka juga memohon penangguhan prosiding atas perintah itu, sementara menunggu pendengaran. 

Mereka juga mendakwa bahawa Zaliha melanggar Akta Racun dengan mengenepikan Lembaga Racun berhubung perkara itu, dan menyahsenaraikan cecair nikotin cecair adalah bertentangan dengan objektif dasar Kementerian Kesihatan sendiri, dikenali sebagai Rang Undang-undang “generasi penamat” yang melarang produk tembakau, rokok elektronik dan vape dijual kepada mereka yang lahir bermula 1 Januari 2007.

Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang dibentangkan Khairy Jamaluddin sebelum ini masih belum diluluskan di Parlimen.

Menurut MCTC, MGLA, dan VoC dalam pemfailan mahkamah mereka adalah "tidak jelas" bila rang undang-undang itu akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua atau diluluskan, tambah CodeBlue.

Mendakwa penyahsenaraian cecair nikotin akan "menghalalkan" mana-mana tahap kandungan nikotin dalam vape dan e-rokok memandangkan kekurangan perundangan mengenai perkara itu, mereka juga berkata perintah yang diwartakan oleh Zaliha serta kuasa untuk berbuat demikian tidak mengikut Perlembagaan.

Mereka juga berkata penyahkawalseliaan cecair nikotin melanggar komitmen antarabangsa Malaysia, memetik Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak.

Zaliha mengumumkan pengecualian itu pada 30 Mac, sekali gus berdepan bantahan daripada Persatuan Farmasi Malaysia, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan Galen Centre.

Industri vape dianggarkan bernilai RM2.49 bilion setakat Februari tahun ini, dan dijangka terus berkembang. 

Pada 13 Jun lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 merekodkan peningkatan dalam vape atau penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun, daripada 9.8% pada 2017 kepada 14.9% pada 2022.

Ia berkata peningkatan ketara itu turut direkodkan dalam kalangan remaja perempuan, daripada 2.8% pada 2017 kepada 6.2% pada 2022.