- Iklan -
Berita

Dewan Negara lulus rang undang-undang nyahjenayah cubaan bunuh diri

Ketiga-tiga rang undang-undang itu memerlukan perkenan Agong sebelum ia diwartakan dan dikuatkuasakan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh ketika menggulung perbahasan bagi ketiga-tiga rang undang-undang itu di Dewan Negara. Gambar: Bernama
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh ketika menggulung perbahasan bagi ketiga-tiga rang undang-undang itu di Dewan Negara. Gambar: Bernama

Dewan Negara hari ini meluluskan satu lagi rang undang-undang berkaitan pemansuhan kesalahan percubaan bunuh diri sekali gus menyaksikan proses pindaan undang-undang bagi menyahjenayahkan cubaan bunuh diri di peringkat Parlimen selesai.

Rang undang-undang itu ialah Rang Undang-undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023 yang antara lain bertujuan memberi kuasa kepada pegawai intervensi krisis untuk melakukan penyelamatan terhadap individu yang cuba membunuh diri. 

Semalam, dua rang undang-undang berkaitan iaitu Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2) 2023 dan Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2023 turut diluluskan di Dewan Negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh menggulung perbahasan bagi ketiga-tiga rang undang-undang yang berunsurkan pencegahan kes bunuh diri itu setelah dibahas oleh senator.

Ketiga-tiga rang undang-undang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said pada 4 April lepas dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 22 Mei lepas.  

Menerusi kenyataan media hari ini, Ramkarpal berkata ketiga-tiga rang undang-undang perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia seterusnya akan diwartakan dalam Warta Kerajaan sebelum berkuat kuasa," katanya. 

Beliau berkata sehingga proses itu selesai, suatu moratorium masih berkuat kuasa ke atas pelaksanaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menjenayahkan cubaan bunuh diri dan tiada pendakwaan boleh dijalankan di bawah seksyen tersebut.

Ramkarpal turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Ahli Parlimen yang telah memberi sokongan penuh dalam usaha ini yang akan mengubah pendekatan terhadap cubaan bunuh diri daripada bersifat punitif kepada pendekatan berasaskan rawatan.

Sementara itu, perbahasan bagi Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 bersambung esok. 

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.