- Iklan -
Berita

Malaysia berdepan ketidaktentuan politik selepas Muhyiddin didakwa, kata penganalisis

Malaysia sudah mempunyai lima perdana menteri dalam masa enam tahun.

Reuters
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin keluar Dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin keluar Dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Malaysia mungkin berdepan polarisasi politik berterusan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berisiko berdepan tindak balas negatif ketika pentadbirannya melakukan pendakwaan terhadap musuh dan juga pendahulunya Muhyiddin Yassin, tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.

Muhyiddin, yang merupakan perdana menteri selama 17 bulan antara 2020 dan 2021, didakwa atas tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung projek yang dilancarkan di bawah kepimpinannya.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan berkata pertuduhan itu hanya bermotifkan politik. 

Namun begitu ia dinafikan Anwar, sambil berkata perkara itu dilaksanakan sepenuhnya oleh agensi penguatkuasaan undang-undang.

Akan tetapi kes itu mampu menjadikan kerajaan Anwar lebih tidak popular dalam kalangan kelompok konservatif, dengan pengundi Melayu lebih condong memilih blok pembangkang walaupun pemimpin kanan gabungan itu berdepan pertuduhan rasuah, kata pemerhati kepada Reuters.

Ini seterusnya boleh membawa lebih banyak ketidaktentuan politik dalam negara yang menyaksikan lima perdana menteri dalam tempoh enam tahun.

Kerajaan campuran dipimpin Anwar dijangka berdepan cabaran hebat daripada gabungan Muhyiddin pada enam pilihan raya negeri, yang dijangka berlangsung menjelang Jun ini. 

"Ia adalah ujian besar bagi Anwar, yang mempunyai pemimpin dalam Kabinetnya yang berdepan kes rasuah," kata Bridget Welsh, penganalisis politik di Universiti Nottingham Asia Research Institute, kepada Reuters.

"Pentadbirannya akan berdepan krisis kredibiliti yang meluas melainkan ada usaha untuk melakukan reformasi sebenar.

“Naratif penganiayaan ini memberi kesan kepada dinamik polarisasi politik Malaysia," katanya. 

Muhyiddin merupakan bekas perdana menteri kedua dalam sejarah Malaysia yang didakwa atas tuduhan rasuah sejurus selepas kalah dalam pilihan raya, dan kesnya menarik perhatian kepada pelbagai retakan dalam politik negara.

Dalam negara yang berbilang etnik, berbilang agama, etnik Melayu membentuk kelompok majoriti, manakala etnik Cina dan minoriti India kebanyakannya beragama Hindu, Buddha atau Kristian. 

Anwar mewakili blok progresif, pelbagai etnik tetapi berdepan kritikan kerana menjalinkan kerjasama dengan Umno yang dicemari rasuah untuk membentuk kerajaan campuran selepas gagal memperoleh majoriti dalam pilihan raya tahun lalu. 

Anwar melantik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalannya walaupun berdepab pelbagai pendakwaan rasuah. 

Muhyiddin pula mengetuai pakatan konservatif Melayu, Islam yang menggambarkan dirinya bersih daripada rasuah, dan berjaya menguasai hampir semua kawasan majoriti Melayu dalam pilihan raya tahun lalu.

Anwar bagaimanapun gagal memperoleh sokongan orang Melayu, menurut tinjauan.

Dalam satu lagi kemungkinan ke atas ketidaktentuan politik, pertuduhan terhadap Muhyiddin berpotensi melemahkan partinya dan mengukuhkan peranan PAS dalam blok pembangkang, kata Oh Ei Sun, seorang felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

"Perikatan yang dikuasai PAS akan memberi tumpuan kepada sentimen agama. Itu boleh meningkatkan gelombang sokongan dalam kelompok konservatif pengundi Malaysia," kata Oh, merujuk kepada blok pembangkang.

Politik balas dendam?

Anwar menegaskan pendakwaan terhadap Muhyiddin tidak bermotifkan politik. 

Bagi mencapai kestabilan, adalah penting bagi kerajaannya memberi isyarat bahawa ia tidak menyasarkan pembangkang, kata penganalisis politik Wong Chin Huat. 

"Selagi Anwar mampu menguasai kelompokpertengahan dengan menunjukkan kesaksamaan, bukannya politik balas dendam, kerajaannya akan selamat dan masyarakat antarabangsa tidak perlu risau tentang ketidakstabilan politik," kata Wong.

Tidak seperti perdana menteri Malaysia sebelum ini, Anwar tidak membuat sebarang perubahan kepada kepimpinan agensi penguatkuasaan undang-undang negara selepas dilantik sebagai perdana menteri.

Malah, Muhyiddin melantik penjawat awam tertinggi yang memainkan peranan penting dalam siasatan berhubung dakwaan rasuahnya: ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam negara. 

Semalam, SPRM menafikan campur tangan pihak tertinggi dalam proses siasatannya.

Muhyiddin bukanlah pemimpin Malaysia pertama yang mempertikaikan pendakwaan berasaskan politik balas dendam yang dikenakan ke atasnya. 

Anwar sendiri pernah dipenjarakan atas tuduhan rasuah dan liwat sebelum menjadi perdana menteri, pertuduhan yang ditegaskannya sebagai rancangan untuk menghalangnya daripada berkuasa. 

Beliau mendapat pengampunan pada 2018.

Politik Malaysia tidak stabil sejak Najib Razak tewas dalam pilihan raya pada 2018, menamatkan era pemerintahan paling lama Umno selama lebih 60 tahun sejak merdeka.

Najib, yang juga mendakwa berlaku penganiayaan politik, kini menjalani hukuman penjara atas tuduhan rasuah berkait skandal berbilion dolar dana negara 1MDB.