- Iklan -
Berita

SPRM tidak jumpa sebarang bukti saya terima rasuah, kata Muhyiddin

Bagaimanapun pengerusi PN itu berkata beliau akan didakwa dengan tujuh pertuduhan esok.

Azzman Abdul Jamal & Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal menjumpai bukti bahawa beliau menerima sogokan wang dan rasuah selepas hampir lapan jam disoal siasat agensi itu sejak tengah hari tadi. 

Bercakap kepada pemberita di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya, Muhyiddin kesal apabila bantuan yang disalurkan ketika negara berdepan krisis kesihatan Covid-19 dijadikan modal politik dan pertuduhan mahkamah. 

"SPRM sepatutnya mengetahui bahawa tiada sebarang salah guna kuasa atau rasuah. 

"Amat malang bila akaun Bersatu yang ada dana politik dianggap sebagai satu suapan," katanya. 

Katanya, beliau akan dikenakan tujuh pertuduhan di mahkamah esok dan percaya tetap dihadapkan ke mahkamah meskipun pelbagai keterangan sudah diberikan dalam sesi soal siasat hari ini.

Muhyiddin menjelaskan, SPRM ketika mengambil keterangannya hari ini membangkitkan dua perkara itu berkaitan projek JanaWibawa dan rayuan pembatalan cukai oleh Syed Mokhtar Albukhary.

Bagi siasatan projek JanaWibawa, Muhyiddin yang juga ahli Parlimen Pagoh menegaskan beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan undang-undang memandangkan dirinya tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan projek kerajaan.

"Melulus projek adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan (MOF). Saya tidak pernah memberi arahan atau mempengaruhi keputusan MOF.

“Saya sekadar melaksanakan keputusan Kabinet yang menghendaki Pejabat Perdana Menteri memanjangkan permohonan projek untuk dipertimbangkan oleh MOF mengikut syarat dan peraturan," katanya.

Menjelaskan lanjut, bekas perdana menteri itu berkata, JanaWibawa adalah projek untuk membangunkan semula ekonomi negara khususnya untuk menyelamatkan kontraktor Bumiputera yang terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19.

Tegasnya, beliau juga tidak pernah berjumpa dengan mana-mana kontraktor yang mendapat projek itu dan tidak mengambil wang daripada mereka.

"Sedihnya ini dijadikan modal politik seolah-olah satu skim mencuri wang negara.

"Itulah sebabnya jumlah yang dituduh berubah-ubah dari RM600 bilion ke RM530 bilion, kemudian turun mendadak ke RM92.5 bilion sebelum jadi RM4.5 bilion dan akhirnya jadi RM300 juta.”

Mengulas mengenai perkara kedua, Muhyiddin menjelaskan, sebab beliau disiasat atas kes ini adalah kerana meminitkan ayat "Sila teliti rayuan ini. Sekiranya teratur, saya tiada bantahan.”

Katanya, minit ini merujuk kepada rayuan Syed Mokhtar ke atas pembatalan pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan pada 2018.

"Rayuan ini dipertimbangkan oleh MOF dan LHDN dan kemudiannya diluluskan. Oleh sebab minit tersebut, saya kini didakwa menyalahgunakan kuasa.

"Jika ada sumbangan dari Syed Mokhtar, itu adalah sumbangan politik yang dimasukkan terus ke akaun Bersatu, bukan ke akaun saya," katanya sambil menambah tidak menerima satu sen daripada sumbangan itu atau memberi arahan kepada MOF untuk meluluskan rayuan terbabit.

Katanya, SPRM tiada asas untuk mendakwanya di bawah mana-mana undang-undang.

"Tetapi sudah ada arahan daripada pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara supaya saya didakwa.

"Walau apapun penjelasan yang diberikan, saya tetap akan didakwa," katanya yang turut yakin tidak bersalah dan akan menjawab segala tuduhan di mahkamah.