- Iklan -
Berita

Selepas pampasan AS$15 bilion, waris sultan Sulu sasar hartanah milik Malaysia di Paris pula

Pegawai Malaysia di kedutaan di Paris berjaya menghalang usaha itu setakat ini, menurut peguam dan kerajaan.

Reuters
3 minit bacaan
Kongsi
Menara Eiffel di Paris, Perancis. Gambar: AFP
Menara Eiffel di Paris, Perancis. Gambar: AFP

Pegawai mahkamah Perancis cuba melaksanakan perintah rampasan ke atas tiga hartanah di Paris milik kerajaan Malaysia dalam kes yang dikaitkan dengan pampasan AS$15 bilion kepada waris kesultanan Sulu, menurut peguam waris dan dokumen mahkamah dilihat Reuters.

Pegawai cuba menilai hartanah itu pada Isnin berikutan perintah rampasan yang dikeluarkan mahkamah pada Disember, tetapi pegawai Malaysia di Paris berjaya menghalang usaha itu, kata peguam dan kerajaan Malaysia.

Waris terakhir Kesultanan Sulu sedang berusaha menuntut pampasan bernilai AS$14.9 bilion yang diberikan kepada mereka oleh mahkamah timbang tara Perancis tahun lalu, di tengah-tengah pertikaian kerajaan berhubung perjanjian tanah ketika era penjajah. 

Malaysia, yang tidak mengambil bahagian dalam timbang tara itu, kekal menganggap proses berkenaan adalah tidak sah.

Hartanah di Paris hanyalah set ketiga aset Malaysia yang dikenal pasti waris sultan Sulu secara terbuka. 

Mereka sudah mendapatkan perintah rampasan untuk aset syarikat petroleum negara di Luxembourg dan memohon kebenaran mahkamah Belanda bagi merampas aset di Belanda.

Pampasan itu boleh dikuatkuasakan secara global terhadap kebanyakan aset Malaysia, kecuali premis diplomatik, di bawah konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai timbang tara.

Walaupun ditangguh, seorang hakim Perancis pada Disember tahun lepas membenarkan permohonan waris sultan Sulu untuk merampas tiga hartanah kerajaan Malaysia di Paris bagi menyelesaikan hutang €2.3 juta (AS$2.46 juta) yang mereka dakwa sebagai hutang tertunggak, menurut dokumen mahkamah dikongsikan peguam waris.

Cubaan rampasan di Paris belum pernah dilaporkan sebelum ini.

Malaysia diarahkan membayar sejumlah pampasan kepada waris itu atas perintah mahkamah timbang tara di Sepanyol, yang tidak terikat dengan keputusan di Perancis, kata peguam.

Menteri undang-undang tidak menjawab permintaan untuk mengulas mengenai anugerah awal.

Hakim Perancis juga mendapati hartanah itu, yang terletak di wilayah ke-16 berhampiran kedutaan Malaysia di Paris, tidak layak dianggap sebagai premis diplomatik, menurut dokumen mahkamah.

Tidak seperti kedutaan, ia tidak mempunyai jata rasmi dan tidak tertakluk kepada pengecualian cukai Perancis, kata hakim.

Pada Isnin, pegawai mehkamah Perancis cuba menilai ketiga-tiga hartanah sebagai persediaan jualan, kata peguam. 

Hasil jualan akan diberikan kepada waris.

Jurucakap menteri undang-undang berkata pegawai itu hadir di kedutaan Malaysia di Paris tetapi tidak dilayan. 

Mereka enggan mengulas lanjut. 

Wisma Putra dan kedutaannya di Paris juga belum memberi sebarang komen.

Reuters tidak dapat memastikan sama ada pegawai berkenaan cuba memasuki ketiga-tiga hartanah yang tertakluk kepada perintah rampasan itu.

Paul Cohen, peguam waris sultan Sulu berkata, perintah mahkamah itu "tidak jelas" dalam arahannya untuk merampas hartanah tersebut dan terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan langkah seterusnya.

"Sehinggakan rakyat Malaysia halang pegawai mahkamah masuk. 

“Mereka secara terbuka menentang perintah mahkamah Perancis," kata Cohen.

Putrajaya dan mahkamah Perancis, Tribunal Judiciaire de Paris, tidak segera menjawab permintaan untuk ulasan.

Bulan lepas, mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah rampasan terhadap dua anak syarikat milik firma petroleum negara Petronas.

Petronas berkata akan menentang sebarang tuntutan yang dibuat ke atas asetnya dan kerajaan berikrar untuk menggunakan semua langkah perundangan untuk menghalang asetnya, termasuk syarikat berkaitan kerajaan, daripada dirampas entiti di luar negara. 

Pertikaian itu berpunca daripada perjanjian yang ditandatangani pada 1878 antara dua penjajah Eropah dan sultan Sulu untuk wilayahnya digunakan yang kini merupakan sebahagian daripada Malaysia – perjanjian yang diiktiraf Malaysia hingga 2013 dengan membayar pajakan secara tahunan.

Putrajaya menghentikan pembayaran selepas pencerobohan berdarah pada 2013 oleh penyokong bekas kesultanan Sulu itu yang mahu menuntut semula tanah dari Malaysia. 

Waris sultan Sulu, yang pernah menguasai wilayah merangkumi pulau-pulau di selatan Filipina dan sebahagian pulau Borneo berkata, mereka tidak terlibat dalam pencerobohan itu dan memohon bantuan timbang tara berhubung pembayaran yang ditangguh itu.