- Iklan -
Berita

Peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang perlu mula dengan rundingan, kata PM

Perdana menteri berkata, kelulusan peruntukan boleh dicapai dengan proses tersebut.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga memegang jawatan menteri kewangan. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga memegang jawatan menteri kewangan. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan beliau tidak mahu berlaku zalim dan tidak adil berhubung isu peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang, namun proses tersebut harus bermula dengan rundingan.

Katanya, beliau tidak pernah menyatakan tiada peruntukan yang tersedia untuk mereka. 

"Sepanjang Pagoh (Muhyidin Yassin) jadi perdana menteri, kita (ahli Parlimen pembangkang) tidak dapat peruntukan. Maknanya dulu Pagoh tidak adil. Kalau ikut Marang (Abdul Hadi Awang), ia zalim.

"Apa yang berlaku semasa di bawah Bera (Ismail Sabri Yaakob), kita mula dengan rundingan," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Shahidan Kassim (PN-Arau).

Shahidan sebelum ini melahirkan rasa kecewa terhadap Belanjawan 2023 kerana tiada peruntukan diberikan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Menurut Jabatan Perdana Menteri, peruntukan kepada ahli Parlimen Pembangkang bergantung budi bicara.

Anwar berkata, rundingan itu perlu untuk kesemua pihak mencari kaedah yang sesuai. 

Tambah beliau, keputusan mengenai peruntukan dapat dicapai dengan segera sekiranya rundingan dapat dimuktamadkan. 

"Saya tidak menolak prinsip memberi peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang seperti mana yang diberikan kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan." 

Terdahulu, Shahidan ingin tahu mengapa kerajaan masih tidak laksanakan darurat banjir di Johor baru-baru ini yang meragut empat nyawa dan lebih 50,000 dipindahkan.

Muhyiddin sebelum ini menggesa peruntukan RM300,000 kepada semua ahli Parlimen supaya disalurkan segera kepada mangsa banjir di kawasan masing-masing.

Namun Anwar pada sidang media semalam berkata, bantuan disampaikan terus kepada rakyat tanpa perlu melalui ahli Parlimen.