- Iklan -
Berita

Muhyiddin cadang peruntukan RM300,000 kepada ahli Parlimen terjejas banjir

Bekas perdana menteri itu berkata ini bagi membolehkan bantuan disalurkan dalam kadar segera kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan masing-masing terutamanya di Johor.

Nur Hasliza Mohd Salleh
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja membersihkan sebuah klinik selepas dinaiki air banjir di Kota Tinggi, Johor pada 5 Mac lalu.
Pekerja membersihkan sebuah klinik selepas dinaiki air banjir di Kota Tinggi, Johor pada 5 Mac lalu.

Kerajaan digesa menyalurkan peruntukan segera berjumlah sekurang-kurangnya RM300,000 kepada semua ahli Parlimen termasuk mereka di blok pembangkang yang kawasan terkesan akibat bencana banjir minggu lalu, kata Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata ini bagi membolehkan bantuan disalurkan dalam kadar segera kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan masing-masing terutamanya di Johor.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri yang meluluskan segera peruntukan RM50 juta kepada Johor tetapi saya cadangkan ia dinaikkan kepada RM100 juta kerana keadaan banjir pada kali ini amat teruk," katanya ketika berucap perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Setakat pagi tadi, kira-kira 49,410 orang terkesan banjir di Johor berbanding 50,596 orang pada 8 malam tadi.

Daerah Batu Pahat kekal menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 20,767 mangsa daripada 5,809 keluarga; diikuti Segamat dengan 11,023 orang (3,253 keluarga); Kluang 4,770 mangsa (1,376 keluarga); Muar 4,625 mangsa (1,358 keluarga); dan Kota Tinggi dengan 3,160 orang  (837 keluarga).

Manakala, seramai 53,040 ditempatkan di pusta pemindahan sementara pagi ini berbanding 55,000 orang malam tadi di tiga negeri yang terjejas akibat banjir iaitu Johor, Pahang dan Melaka.

Terdahulu, kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM50 juta untuk Johor susulan bencana banjir yang disifatkan terburuk pernah melanda negeri itu.

Kelulusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi tujuan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak disebabkan bencana tersebut.