- Iklan -
Berita

Paras air Sg Golok lepasi bacaan tahun 2014, penduduk Kelantan berdepan banjir buruk

Beberapa klinik kesihatan di negeri itu diarah mengemas stor ubat-ubatan bagi menghadapi kemungkinan banjir lebih besar.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Jalan Culvert 5 Rantau Panjang-Pasir Mas ditutup untuk kenderaan awam hari ini. 
Jalan Culvert 5 Rantau Panjang-Pasir Mas ditutup untuk kenderaan awam hari ini. 

Penduduk Rantau Panjang di Kelantan bersiap-sedia untuk berpindah daripada kediaman masing-masing apabila keadaan banjir dijangka semakin memburuk, susulan paras air Sungai Golok yang melepasi bacaan pada 2014 ketika banjir di beberapa buah negeri di Semenanjung mengakibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta yang terburuk dalam sejarah.

Seorang penduduk memberitahu MalaysiaNow, air yang kini membanjiri pekan itu adalah daripada taburan hujan.

Menurut Adrian Hakimi, air Sungai Golok kini berada pada paras 10.85 meter, melepasi bacaan tahun 2014 iaitu 10.45 meter.

"Air telah memenuhi kampung-kampung pekan Rantau Panjang dan air dilihat semakin tinggi dan deras," katanya ketika dihubungi.

Dijangka semakin banyak kampung di Rantau Panjang akan dimasuki air menjelang petang ini.

KgBanggolKulimKelantan_banjir_271124Adrian berkata penduduk berdepan kesulitan untuk masuk ke Rantau Panjang.

"Kenderaan berat seperti pacuan empat roda pun tak dapat masuk kerana kederasan air," katanya.

Negeri di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu antara yang terkesan dengan bencana banjir akibat musim tengkujuh ketika ini, selain di selatan Semenanjung.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Mohd Hisham Mohd Anip berkata, luruan monsun membawa hujan lebat berterusan dijangka berlanjutan sehingga hujung bulan ini.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selain menyediakan peralatan secukupnya.

Beberapa pegawai perubatan yang bertugas di Pasir Mas dan Tanah Merah Kelantan memberitahu, mereka sudah diarahkan untuk mengemaskan ubat-ubatan di stor dan kaunter klinik kesihatan masing-masing.

Ini bagi memastikan stok bekalan ubat tidak dicemari air banjir ketika klinik tutup disebabkan banjir.

Selain itu, sebahagian besar bekalan ubat seperti vaksin untuk rawatan ibu dan anak sudah dihantar ke fasiliti kesihatan seperti hospital daerah yang tidak terjejas akibat banjir.

"Pegawai-pegawai farmasi juga kini giat melakukan hebahan awam dengan van kesihatan dan trak bomba menggunakan speaker mengingatkan penduduk supaya menyimpan ubat dengan baik atau membawa ubat-ubatan harian ke pusat pemindahan banjir," kata seorang pegawai perubatan.

Beberapa penduduk memberitahu MalaysiaNow, banjir kali ini agak mengejutkan kerana tiada amaran awal mengenai kenaikan paras anak sungai menyebabkan persiapan sedikit kelam kabut.

Kelantan menjadi negeri paling teruk terkesan dengan banjir kali ini dengan lebih 8,000 penduduk terjejas.

Sementara itu di Terengganu, 378 keluarga membabitkan lebih 1,000 mangsa terkesan dengan banjir kini ditempatkan di lebih 35 PPS di empat daerah di utara negeri itu.

"Mengikut data terkini di PPS, keadaan semasa masih terkawal," kata Timbalan Pengarah (Operasi) Angkatan Pertahanan Awam Terengganu, Mejar Mohd Hafiz Asikin.

Banjir pada akhir tahun 2014 dianggap bencana terburuk pernah dialami negara dalam tempoh beberapa dekad, mengorbankan 21 nyawa dan menyebabkan ratusan ribu penduduk di beberapa negeri Pantai Timur kehilangan tempat tinggal.

Pada 2021, negeri-negeri Pantai Barat turut mengalami banjir besar, meragut 54 nyawa di seluruh negara dan kerugian harta benda berjumlah lebih RM20 bilion.