- Iklan -
Berita

Belanjawan dibentang Anwar gagal atasi masalah gaji rendah, kata Cuepacs

Menurut kongress penjawat awam itu gaji yang diberikan tidak sepadan dengan kos sara hidup, sambil menambah banyak inisiatif setakat ini sudah pun dilaksanakan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penjawat awam membawa makanan yang dibeli semasa rehat tengah hari di Presint 4.
Penjawat awam membawa makanan yang dibeli semasa rehat tengah hari di Presint 4.

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal menangani kos sara hidup tinggi yang dihadapi oleh kakitangan kerajaan. 

Presiden kesatuan itu Adnan Mat turut mempersoalkan komitmen kerajaan untuk menilai semula sistem saraan perkhidmatan awam baharu bagi meningkatkan tangga gaji.

“Faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak pada ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang naik dengan begitu mendadak terutama melibatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Adnan berkata terdapat banyak kajian semula sistem saraan perkhidmatan awam oleh kerajaan terdahulu "tetapi tanpa sebarang berita baik". 

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 dengan jumlah peruntukan RM386.14 bilion hari ini, Anwar antara lain mengumumkan bayaran khas RM700 untuk penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, serta RM350 untuk pesara, akan dibayar sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. dalam bulan April.

Cuepacs, yang menghimpunkan lebih 100 kesatuan perkhidmatan awam dengan kira-kira 1.2 juta anggota, berkata inisiatif melibatkan penjawat awam sudah dimulakan oleh kerajaan terdahulu. 

Namun, ia berkata langkah untuk mengurangkan cukai individu tidak akan memberi apa-apa kesan bermakna ke atas pendapatan boleh guna terutamanya bagi penjawat awam, sambil menambah sistem saraan baharu diperlukan untuk menggantikan sistem dua dekad sedia ada.

“Lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300 melalui pengurangan cukai ini tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat di luar sana,” kata Adnan.

Menurut Adnan belanjawan yang dibentangkan hari ini juga gagal menangani masalah pemilikan rumah yang dihadapi penjawat awam, dengan berkata kerajaan perlu membawa balik skim pembelian rumah mampu milik yang dilaksanakan sebelum ini.

“Penjawat awam tidak meminta perumahan percuma kerana kami sanggup membelinya tetapi harga yang ditawarkan oleh pemaju ketika ini sangat tidak masuk akal dengan kadar gaji semasa penjawat awam.”