Ampu, bodek, atau buang masa? Sejauh mana amalan protokol berlebihan penjawat awam
Beberapa bekas pegawai kerajaan dan penjawat awam berkata sudah tiba masa sektor awam di Malaysia membuang budaya protokol berlebihan yang menjurus kepada sikap mengampu.
Terkini
Satu pemerhatian pedas Rafizi Ramli baru-baru ini mengenai pengalaman beliau berdepan pelbagai protokol ketika menjawat menteri ekonomi turut diakui beberapa bekas pegawai kerajaan, yang menyifatkan ia antara budaya mengampu yang masih sebati dalam perkhidmatan awam.
Malah mereka menganggap budaya itu telah sampai ke tahap di mana tidak kira parti mana yang memerintah, protokol berlebihan yang menyebabkan pembaziran sumber dan tenaga akan berterusan.
"Prinsip yang tuntas ialah penjawat awam hanya perlu berkhidmat kepada kerajaan semasa. Kalau itu betul-betul difahami dan diamalkan isu budaya mengampu ini tidak akan timbul," kata Hanipa Maidin, bekas timbalan menteri undang-undang yang berkhidmat di bawah pentadbiran pertama Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad.
Bagi Hanipa, kewujudan budaya itu bergantung kepada pemahaman penjawat awam mengenai prinsip berkhidmat kepada kerajaan semasa.
Hanipa, antara pengasas Amanah yang kini lantang mengkritik partinya di samping kegagalan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim memenuhi pelbagai janji reformasi, ditanya mengenai kenyataan Rafizi baru-baru ini yang menggesa orang ramai memerangi protokol sia-sia dengan cara sindiran di media sosial.
Rafizi mengajak orang ramai mendedahkan sikap itu secara berterusan di media sosial agar masyarakat sedar bahawa amalan seperti sambutan besar-besaran atau penghormatan berlebihan terhadap menteri tidak patut dinormalisasikan.
Menurutnya, budaya mengampu jika dibiarkan berakar akan menjejaskan integriti dan profesionalisme perkhidmatan awam.
Antara lain, Rafizi memberikan contoh kecenderungan dalam kalangan penjawat awam yang hadir ke sesebuah program walaupun tidak diwajibkan, membangkitkan persoalan pembaziran sumber dan produktiviti.
Sependapat dengan Rafizi, seorang bekas pegawai kanan kepada seorang menteri berkata pemerintahan satu parti yang terlalu lama di Malaysia menyebabkan banyak protokol sia-sia sebati dalam sistem.
"Protokol kerajaan bukan semuanya pasal bodek, tetapi bila Barisan Nasional memerintah terlalu lama, 60 tahun, banyak perkara jadi seolah-olah wajib, walhal sebenarnya tidak,” kata bekas pegawai itu yang memilih tidak menyiarkan namanya.
"Budaya ini dah amal terlalu lama sejak parti tak jadi dominan, bukan Rafizi seorang sahaja yang bercakap pasal isu ini," katanya, yang turut mengingatkan bahawa Rafizi membangkitkan isu tersebut "hanya selepas tiada jawatan dalam kerajaan".
Apa yang bermula sebagai amalan istiadat rasmi akhirnya menjadi budaya berakar umbi, daripada arahan hadir ke majlis menteri hinggalah kepada rombongan rasmi yang besar.
Bagaimanapun, tidak semua amalan adalah sia-sia, katanya, memberi contoh protokol keselamatan.
"Cuma budaya tunggu menteri ini memang tak patutlah," tambah beliau.
Katanya, garis pemisah antara protokol perlu dan tabiat lama adalah kabur.
"Bila satu parti memerintah terlalu lama kita nampak sempadan jadi kabur antara apa yang penting, seperti aspek keselamatan, dengan apa yang sekadar budaya," katanya.
Dalam nada sama, Hanipa berkata terdapat menteri yang membawa pengiring terlalu ramai sewaktu lawatan luar negara sehingga membebankan pegawai kedutaan.
Beberapa penjawat awam turut bersetuju.
Mereka berpandangan, apa yang bermula sebagai amalan istiadat rasmi akhirnya menjadi budaya berakar umbi, daripada arahan hadir ke majlis menteri hinggalah kepada rombongan rasmi yang besar.
Hormat atau bodek?
Bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Wan Ahmad Wan Omar, memberikan contoh amalan ucapan pembukaan yang terlalu panjang dalam majlis rasmi kerajaan, menyifatkannya budaya protokol berlebihan yang menjurus kepada mengampu.
Menurut beliau, berdasarkan pengalamannya menghadiri pelbagai acara, terlalu banyak masa dibazirkan apabila juruacara terpaksa menyebut satu persatu nama tetamu kehormat sebelum majlis utama bermula.
"Protokol berlebihan ini sudah jadi budaya dalam perkhidmatan awam, malah dalam semua sektor termasuk politik. Setiap ucapan pembukaan, ucapan alu-aluan atau ucapan tetamu kehormat akan dimulai dengan protokol keutamaan, menyebut satu persatu nama VIP."
Wan Ahmad berkata amalan itu tidak wujud di negara maju.
"Di Singapura, Jepun, Korea Selatan dan negara Barat lain, ucapan terus kepada isi. Hanya di Malaysia perkara ini dibuat secara berlebihan, sampai lima minit terbuang hanya untuk menyebut nama dan jawatan VIP."
Ia tidak bermakna beliau menolak amalan meraikan orang kenamaan.
"Tetapi apabila keterlaluan, ia membazir masa. Protokol sebegini perlu diringkaskan," katanya, sambil menambah ada perbezaan jelas antara meraikan dan mengampu.
Tambahnya, amalan mengampu tidak sesuai dengan imej perkhidmatan awam yang sepatutnya neutral dan profesional, dan tidak dijadikan alat untuk kepentingan politik.
"Prinsipnya, rakyat berhak mendapat segala manfaat daripada dasar kerajaan yang dilaksanakan oleh perkhidmatan awam."
Sementara itu, Hanipa memberi amaran bahawa selagi budaya pelantikan politik dan sikap mengampu tidak ditangani, ia akan terus menjadi beban kepada sistem.
"Kalau perkara ini tidak dibendung, ia bukan sekadar isu protokol atau bodek, tetapi juga soal pembaziran sumber awam."
Katanya, secara peribadi beliau tidak menghadapi masalah dengan pegawai kerajaan, namun mengakui amalan lama sukar dihapuskan.
"Macam orang kata, old habits die hard."
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
