- Iklan -
Berita

Putrajaya pertahan kemasukan pakar perumahan Singapura

Kualiti pembinaan merupakan masalah utama pembinaan perumahan awam di Malaysia, bukannya kekurangan bilangan unit rumah, kata Nga Kor Ming.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Kelihatan dua penduduk pangsapuri Sri Penara melihat ke luar ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) angkara Covid-19 di Cheras, Kuala Lumpur pada 3 Jun 2021.
Kelihatan dua penduduk pangsapuri Sri Penara melihat ke luar ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) angkara Covid-19 di Cheras, Kuala Lumpur pada 3 Jun 2021.

Kemasukan pakar perumahan Singapura ke Malaysia dapat memberi manfaat isu perumahan awam yang antara lain mempunyai masalah berkait kualiti, kata menteri pembangunan dan kerajaan tempatan.

Nga Kor Ming berkata, permasalahan utama dalam pembinaan perumahan awam di Malaysia bukannya tentang kekurangan bilangan unit rumah tetapi kualiti pembinaan.

Jelasnya, pembina perumahan awam terlepas pandang beberapa elemen seperti aspek kehijauan, kelestarian dan kesejahteraan komuniti yang wajib diterapkan dalam projek-projek tersebut.

Atas sebab itu, Nga berkata, kerajaan akan meneliti dan mempelajari aspek-aspek tersebut melalui kemasukan pakar perumahan Singapura bersama Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dikatakan sudah bermula sejak 2018 lagi oleh kerajaan terdahulu.

Sebagai contoh, lawatan sambil belajar delegasi kementerian ke Projek Perumahan Awam Malaysia (PPAM) di Desa Park City, Kuala Lumpur menunjukkan contoh model projek perumahan awam yang baik apabila memperkenalkan model fasiliti bertaraf lima bintang dengan harga yang mampu milik.

“Inilah model yang kita akan belajar termasuk ciri-ciri yang baik daripada Singapura. Ia ada ciri-ciri komersial supaya perumahan awam kita yang dibina yang penting adalah berdaya huni iaitu ‘liveability’, ‘connectivity’ dan juga ‘sustainability’.

“Ini antara ciri-ciri yang wajar kita belajar bersama demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya sebagai menjawab soalan dikemukakan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Nga berkata Malaysia melalui kementeriannya turut melaksanakan pelbagai kerjasama serupa dengan pelbagai negara lain, seperti Australia berkaitan pemajuan perumahan swasta dan akta sewaan kediaman dan India dalam pembangunan bercampur swasta.

Jelasnya lagi, libat urus bersama HDB sudah dimulakan sejak tahun 2018 lagi melalui lawatan mantan menteri perumahan dan kerajaan tempatan dan delegasi ke negara jiran itu untuk memahami perancangan dan penyediaan perumahan, terutama dalam perumahan sosial.