- Iklan -
Berita

Penjanaan semula lapangan terbang Subang akan dorong trafik lebih sesak

Walaupun nilai hartanah akan meningkat, kesesakan lalu lintas dan pencemaran bunyi mungkin bertambah.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kapal terbang melintasi ruang udara di Kampung Melayu Subang berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, 10 Februari.
Sebuah kapal terbang melintasi ruang udara di Kampung Melayu Subang berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, 10 Februari.

Langkah menjadikan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) sebagai hab penerbangan serantau menerusi pelan penjanaan semula Lapangan Terbang Subang (SARP) dijangka akan meningkatkan kapasiti trafik secara mendadak sekali gus menyebabkan kawasan sekitar itu bertambah sesak.

Ini kerana, sebaik projek mega itu selesai dilaksanakan yang mana ia akan meningkatkan kapasiti penerbangan di lapangan terbang itu, faktor ini akan menjadikan kawasan sekitarnya sebagai kawasan tumpuan yang boleh mencetuskan "penghijrahan".

Pakar hartanah dari UCSI University, Marina Hassan, berkata SARP dijangka mendatangkan kesan limpahan sama seperti pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 1998.

Katanya, kesan limpahan itu termasuk peningkatan nilai hartanah yang didorong oleh pelbagai faktor, situasi yang sama disaksikan di kawasan Bangi, Semenyih, Kajang dan Seremban susulan kewujudan KLIA.

Namun, disebabkan LTSAAS terletak berhampiran kawasan yang sudah membangun seperti Ara Damansara, Subang Jaya dan Shah Alam, faktor ini akan menambah kepada kesesakan lalu lintas apabila semakin ramai dijangka "berhijrah" ke kawasan itu.

Menurut Marina, walaupun sasaran pasaran untuk projek ini lebih tertumpu kepada penumpang perniagaan dan kelas premium, perlu diambil kira juga projek ini juga menarik komuniti kelas pekerja disebabkan penambahan peluang pekerjaan.

"Kelas premium sesuai untuk menetap di kawasan seperti Ara Damansara tetapi kelas pekerja mungkin mencari kawasan yang lebih mampu milik seperti Puchong.

"Kawasan-kawasan ini sudah sesak , bayangkan jika tambah lagi jumlah penduduk," katanya kepada MalaysiaNow.

Sementara itu, dari aspek positif, Marina berkata, perubahan status lapangan terbang itu juga dijangka akan memanfaatkan.

Pada masa sama, Marina berkata, perubahan status yang bakal diterima lapangan terbang itu juga akan memanfaatkan pemilik hartanah sedia ada di kawasan tersebut memandangkan nilai hartanah dijangka melonjak.

"Mereka yang sudah membeli kediaman di kawasan itu mungkin beruntung, malah, kawasan seperti Subang Bestari atau yang berhampiran dengan Sungai Buloh juga berpotensi menyaksikan kenaikan dari segi nilai dan pembangunan," tambahnya.

Selain daripada isu trafik, antara kebimbangan yang turut diluahkan penduduk di kawasan berhampiran LTSAAS itu ialah isu gangguan bunyi.

Penduduk di Kondominium Ara Hill, Arphan Ahmad, berkata antara kebimbangan utamanya ialah kenaikan taraf pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi membolehkan pesawat komersial yang menggunakan enjin jet berlepas dan mendarat di situ.

Sebelum ini, hanya pesawat yang menggunakan enjin jenis “propeller” dan “turboprop” dibenarkan beroperasi di LTSAAS.

"Semasa saya mula berpindah ke sini, saya dan isteri sering diganggu bunyi bising daripada enjin pesawat apabila ia diuji malah terjadi pada tengah malam," katanya yang sudah menetap di Ara Hill sejak 13 tahun lalu.

"Gangguan ini terhenti apabila operasi MRO dipindahkan ke KLIA. Pada masa hadapan, aktiviti itu akan kembali."

Menurut Arphan, beliau dengan keputusan kerajaan untuk menaik taraf lapangan terbang itu demi kebaikan ekonomi negara.

Bagaimanapun, beliau berharap wakil kerajaan akan adakan perbincangan bersama persatuan penduduk untuk mendengar luahan dan cadangan yang ingin dikemukakan.

"Buat masa ini, tidak ada dengar berita pihak kerajaan ingin adakan sesi perjumpaan.

"Saya berharap mereka akan ambil inisiatif untuk mendengar pandangan penduduk terdahulu sebelum membuat apa-apa keputusan lagi," tambahnya.