- Iklan -
Berita

Ambil tindakan tanpa kira kedudukan, fahaman, kata Anwar

Badan penguatkuasaan perlu buat perubahan walau dibantah golongan mahakaya, mahakuasa, kata perdana menteri.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama.

Badan penguatkuasaan perlu mengambil tindakan segera sekiranya mendapati wujud perlanggaran di pelbagai peringkat tanpa mengira kedudukan serta fahaman, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata usaha memperbetulkan kekhilafan umpamanya soal kewangan yang dirompak sentiasa mendapat tentangan luar biasa daripada pelbagai pihak.

“Ada guna kaum atas nama Melayu, ada guna Islam, dan terus tanpa menyiasat, tanpa mendengar laporan daripada penyiasat badan penguatkuasa dan terus sebut ini soal tindakan politik dan sebagainya.

“Kita ambil tindakan terutama dari segi hukum berdasarkan fakta dan hukum… bukan untuk merekayasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini. 

Sebelum ini, Anwar menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya tidak mencampuri urusan badan siasatan dan penguatkuasaan termasuk dalam siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Bersatu.

Badan siasatan dan penguatkuasaan serta kehakiman kekal bebas untuk menjalankan siasatan masing-masing, kata Anwar.

Sementara itu, Anwar berkata semua pihak perlu bertekad melakukan perubahan demi membawa negara ke arah lebih baik meskipun menerima bantahan hebat daripada golongan mahakaya dan mahakuasa dengan gelaran tinggi. 

“Kalau kita menolak, risiko besar kerana kita berdepan mahakaya dan mahakuasa dengan gelaran tinggi, Datuk Seri, Tan Sri, dan Tun.… kalau ada tekad membawa perubahan insya-Allah kita dapat lakukan," katanya.

Anwar berkata beliau tidak mahu negara sekali lagi terpalit dengan isu rasuah atau salah guna kuasa sebaliknya memfokus untuk mengamalkan tatakelola yang baik.

Beliau berkata barisan Jemaah Menteri dalam kerajaannya turut membuat ketetapan untuk tidak mengizinkan amalan dan budaya lampau diteruskan.

“Maka alasan untuk kita jalankan kerja lulus kontrak dan projek tidak tepati peraturan dari segi tatakelola baik adalah tidak terpakai lagi.

“Sekarang ini terserah kepada ketua pengarah, ketua bahagian, pimpinan kementerian untuk memastikan hal ini tidak berlaku di semua peringkat,” katanya.

Ditanya adakah badan penasihat khas kepada menteri kewangan telah diberikan tugasan tertentu, Anwar berkata pengerusinya Mohd Hassan Marican akan mengumumkan tindakan yang akan dilaksanakan untuk memacu ekonomi negara. 

“Mohd Hassan akan umumkan... saya telah bincang dengan dia semalam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Semalam, Anwar mengumumkan pelantikan Mohd Hassan yang merupakan Penasihat Petronas untuk mengetuai badan penasihat khas kepada menteri kewangan.

Anwar berkata kumpulan penasihat yang terdiri daripada golongan profesional serta pakar ekonomi bertanggungjawab bagi membantu menasihatinya selaku Menteri Kewangan.

Empat lagi anggota badan penasihat khas itu ialah Pengerusi Eksekutif FVSB Sdn Bhd Ahmad Fuad Md Ali, Profesor Ekonomi Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng, Profesor Ekonomi Universiti Malaya Prof Ulung Dr Rajah Rasiah dan Pengerusi Sarawak Energy Bhd Amar Abdul Hamed Sepawi.