- Iklan -
Berita

Ambiga selar Anwar ‘beri kebenaran’ menteri lantik keluarga

Beliau membidas kenyataan PM bahawa anggota Kabinet tidak boleh memberi gaji atau ganjaran daripada peruntukan kerajaan kepada saudara yang dilantik sebagai penasihat atau pegawai.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan.
Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan.

Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan hari ini membidas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa anggota Kabinet dilarang memberi gaji atau ganjaran daripada peruntukan kerajaan kepada ahli keluarga jika mereka dilantik sebagai penasihat atau pegawai, berikutan langkahnya bulan lalu untuk menamakan anak perempuannya jawatan sedemikian. 

"Lampu hijau untuk semua menteri membawa masuk keluarga!" tulis Ambiga dalam catatan di Twitter.

Tindakan Anwar melantik anak sulungnya, Nurul Izzah Anwar, sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan, mencetuskan perdebatan dan tuduhan kronisme dan nepotisme, antara lain, disebabkan pendiriannya menentang perkara sebegitu sewaktu menjadi pembangkang. 

Anwar mempertahankan langkah itu sambil menegaskan pelantikan Nurul Izzah adalah atas dasar pro bono. 

Beliau juga berkata anaknya itu layak untuk memegang jawatan itu walaupun tidak mempunyai latar belakang ekonomi yang sesuai. 

Katanya, beliau mahu Nurul Izzah membantu kerajaan termasuk memastikan pentadbiran yang telus dan pemberian tender kerajaan yang sewajarnya.

Bercakap pada sidang media semalam, beliau berkata Nurul Izzah tidak akan menyalahgunakan jawatannya, sambil mengulangi bahawa anaknya itu tidak bergaji.

"Tidak ada langsung kemungkinan untuk beliau menggunakan kedudukannya bagi mempengaruhi proses dan keputusan pemberian tender atau kontrak.

"Ya, saya perlukan khidmatnya untuk membantu saya, namun kedudukannya hanya untuk melindungi dan melaksanakan agenda tata kelola dan mengatasi rasuah dalam sistem," katanya.

“Oleh itu, saya mengambil pendirian yang kukuh terhadap mereka yang mengkritik pelantikan itu, khususnya mereka yang menganugerahkan kontrak berbilion atau ratusan juta ringgit kepada anak lelaki atau menantu, atau kroni mereka, semasa mereka berkuasa,” katanya. 

Anwar juga berkata beliau menghormati pandangan berkenaan Nurul Izzah mungkin menggunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi dan keluarga.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa perkara itu tidak akan berlaku di bawah pentadbiran saya,” katanya. 

Nurul Izzah, yang tewas di kerusi Permatang Pauh dalam pilihan raya baru-baru ini, berkata pelantikannya berkuat kuasa pada 3 Januari. 

Beliau berkata pengalamannya sebagai ahli Parlimen akan berguna apabila melibatkan diri dengan "pakar dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, akauntabiliti dan dasar negara".