- Iklan -
Berita

PKR akan bincang kemasukan bekas pemimpin Umno, kata Anwar

Khairy Jamaluddin yang dipecat minggu lalu merupakan bekas pemimpin Umno yang dispekulasikan menyertai PKR.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.
Bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

PKR akan membincangkan kemasukan bekas pemimpin Umno dengan parti itu sebelum membuat keputusan membuka pintu kepada mereka, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri yang juga presiden PKR, memaklumkan mengenai perkara itu pada satu sidang media hari ini.

"Beberapa bekas ahli Umno menzahirkan minat untuk menyertai (PKR). 

“Kami akan berbincang dengan pimpinan Umno dalam masa terdekat," katanya.

Ia selaras dengan kenyataan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang menyatakan kemasukan Khairy Jamaluddin ke dalam parti itu akan dibincangkan terlebih dahulu.

Khairy yang juga bekas menteri kesihatan dalam beberapa wawancara sebelum ini mengesahkan menerima pelawaan daripada ramai pihak namun masih belum membuatkan keputusan.

Beliau berkata akan menumpukan gerak kerjanya di Selangor setelah dihantar bertanding ke Sungai Buloh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Khairy merupakan bekas pemimpin Umno yang dispekulasikan menyertai PKR.

Selain itu, pemimpin lain termasuklah bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Zahidi Zainul Abidin yang sebelum ini mahu menyertai parti itu sebelum menukar pendirian untuk menyertai Amanah.

Khairy dan Zahidi antara beberapa pemimpin yang diambil tindakan disiplin oleh Umno setelah parti itu mengalami kekalahan teruk pada PRU15.

Pemimpin lain termasuklah bekas pengerusi badan perhubungan Umno Selangor, Noh Omar yang dipecat.

Sementara Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein merupakan antara yang digantung.