- Iklan -
Berita

Penasihat ekonomi mesti ada latar belakang ekonomi, kata badan pemikir

Center for Market Education berpendapat pelantikan Nurul Izzah tidak patut dilakukan walaupun tidak dibayar gaji.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Badan pemikir memberi amaran bahawa tindakan Anwar Ibrahim melantik anaknya Nurul Izzah (kiri) menggambarkan nepotisme, dan mengecam Rafizi Ramli (kanan) kerana menunjukkan pemahaman yang lemah terhadap teori dan realiti ekonomi. Gambar: Facebook
Badan pemikir memberi amaran bahawa tindakan Anwar Ibrahim melantik anaknya Nurul Izzah (kiri) menggambarkan nepotisme, dan mengecam Rafizi Ramli (kanan) kerana menunjukkan pemahaman yang lemah terhadap teori dan realiti ekonomi. Gambar: Facebook

Badan pemikir ekonomi menyuarakan kebimbangan berhubung pelantikan anak perempuan Anwar Ibrahim sebagai penasihat kanannya dalam bidang kewangan dan ekonomi, mengatakannya sebagai salah satu daripada beberapa siri tindakan yang bertentangan dengan reformasi yang diperjuangkan sebelum ini oleh perdana menteri tersebut. 

Center for Market Education (CME) berkata peranan penasihat ekonomi memerlukan seseorang yang mempunyai latar belakang yang sesuai kerana ia bukanlah satu jawatan politik.

"Nurul Izzah Anwar belajar kejuruteraan dan hubungan antarabangsa dan tidak mempunyai latar belakang khusus dalam ekonomi atau kewangan, walaupun tidak diperlukan untuk peranan politik utama seperti menteri, ia menjadi satu kemestian bagi penasihat dan kaunselor," kata Ketua Eksekutifnya Carmelo Ferlito. 

Pendedahan Nurul Izzah dalam wawancara dengan The Star beliau dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri mencetuskan pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, Anwar mempertahankan anak perempuannya itu dengan mengatakan beliau layak untuk memegang jawatan tersebut walaupun tidak mempunyai latar belakang ekonomi.

“Saya pun tiada kelulusan berkaitan kewangan tetapi saya pernah jadi Menteri Kewangan selama lapan tahun (pada 1990-an),” katanya sambil menambah Nurul Izzah tidak akan menerima sebarang gaji.

Bagaimanapun Ferlito berkata persoalan utama ialah "kos sebenar politik" disebabkan oleh dasar yang tidak baik, sambil mengatakan banyak dasar buruk sebelum ini merugikan negara lebih daripada gaji atau rasuah.

Beliau berkata sedikit perhatian ditumpukan untuk merangka dasar ekonomi yang kukuh, memetik kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini yang "menunjukkan pemahaman yang lemah tentang teori dan realiti ekonomi".

“Tambahan pula, kenyataan sebegitu hanya berbunyi seperti ceramah dan bukannya cadangan dasar yang praktikal dan boleh dilaksanakan, yang amat diperlukan untuk menangani kemelesetan ekonomi,” kata Ferlito, sambil menegaskan ia sudah mula berlaku sejak pertengahan 2021.

Beliau berkata kerajaan mengenepikan individu berkebolehan untuk beberapa jawatan Kabinet contohnya bagaimana seorang wakil rakyat seperti Johari Abdul Ghani tidak dilantik sebagai menteri kewangan.

Malah, portfolio perdagangan antarabangsa dan industri diberikan kepada Tengku Zafrul Aziz walaupun kalah dalam pilihan raya.

“Dalam senario inilah perdana menteri melantik salah seorang anak perempuannya, yang baru-baru ini kalah dalam pilihan raya, sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan. 

“Pelantikan sebegini bukan sahaja menampakkan seperti nepotisme, tetapi ia juga menjadi punca kebimbangan terhadap masa depan ekonomi negara,” kata CME dalam satu kenyataan. 

Nurul Izzah, yang tewas di kerusi Permatang Pauh pada pilihan raya umum baru-baru ini, mendedahkan pelantikannya berkuat kuasa pada 3 Januari lalu. 

Beliau berkata pengalamannya sebagai ahli Parlimen akan digunakan sebaik mungkin untuk melakukan libat urus dengan "pakar dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, akauntabiliti dan dasar negara".

Nurul Izzah juga berkata beliau sibuk bertemu dengan kumpulan perniagaan dan pihak berkepentingan sebagai sebahagian daripada persediaan untuk belanjawan akan datang yang akan dibentangkan oleh bapa nya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.