- Iklan -
Berita

Tiada masalah Anwar baik dengan Asri, kata Ramasamy

Ramasamy turut menganggap mufti Perlis itu sebagai individu yang bijak bermain politik.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersalaman dengan mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin pada satu majlis minggu lalu. Gambar: Facebook.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersalaman dengan mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin pada satu majlis minggu lalu. Gambar: Facebook.

Pemimpin DAP yang sebelum ini lantang mengkritik Mohd Asri Zainul Abidin, memberikan respons positif terhadap pertemuan Anwar Ibrahim dengan mufti Perlis itu.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berkata sebagai perdana menteri, Anwar perlu melayani semua pihak.

"Kalau dia jumpa Asri pun saya kira tiada apa masalah," katanya kepada MalaysiaNow.

Sejak lebih sedekad lalu, Asri merupakan antara pengkritik tegar Anwar.

Bagaimanapun dalam satu program baru-baru ini, Anwar memberikan layanan baik kepada Asri.

Asri turut menyatakan penghargaannya kepada Anwar yang berjalan meninggalkan pentas utama untuk berjabat tangan meskipun majlis sedang berlangsung.

Asri turut memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan beliau bersalaman dan beramah mesra dengan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

"Mentaati sesiapa sahaja yang menjadi pemerintah dalam perkara yang tidak mungkar adalah kewajipan seorang muslim.

"Itu adalah arahan Nabi s.a.w," kata Asri di Facebook pada Isnin.

Pada 2010, beliau pernah menulis di blognya menyeru Anwar supaya bersara daripada dunia politik kerana banyak rentak tari politiknya semakin “tidak seimbang”.

Selain itu, Asri juga pernah dilaporkan "mengusik" Anwar mengenai isu perjanjian menyerahkan kuasa perdana menteri kepada Anwar ketika pentadbiran PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada 2018.

Secara berkias, Asri mengatakan harta yang bukan milik seseorang tidak boleh ditunaikan sekiranya pemilik harta tersebut tidak bersetuju.

"Kita tidak boleh menjanjikan apa yang merupakan milik orang lain untuk kita berikan kepada sesiapa yang kita pilih melainkan pemiliknya bersetuju terlebih dahulu," tulisnya pada Februari 2020 dipercayai ketika isu hangat peralihan kuasa perdana menteri kepada Anwar oleh Mahathir. 

Sebagai reaksi, Ramasamy berkata Anwar perlu memainkan peranannya secara meluas tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

Menurut Ramasamy, Asri mungkin mempunyai sebab-sebabnya sendiri ketika membuat kritikan dan tohmahan kepada Anwar sebelum ini.

"Boleh jadi dia pernah mengkritik Anwar Ibrahim selaku individu bukan sebagai perdana menteri.

"Dia mungkin ada jawapan (sendiri). Ini orang semuanya pandai. 

"Maza (Asri) ini seorang politik. Orang politik pandai jawab."

Sebelum ini, Ramasamy dan Asri turut terpalit dengan beberapa siri berbalas kenyataan melibatkan beberapa isu termasuk dakwaan pemimpin Pulau Pinang itu membuat kenyataan berbaur perkauman dan ekstremis.

Selain itu, isu melibatkan kumpulan militan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) dan penceramah kontroversi Zakir Naik.

Pada 2018, kedua-dua Asri dan Ramasamy hadir dalam satu pertemuan tertutup di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Putrajaya bagi membincangkan beberapa perkara selepas kenyataan mereka mendapat perhatian umum.