- Iklan -
Berita

Kesan kenaikan dan penurunan OPR kepada orang ramai

Bank Negara dijangka terus meningkatkan kadar dasar semalaman yang kini berada pada mata asas 2.75%.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bank Negara Malaysia dijangka akan menaikkan kadar dasar semalaman pada tahun 2023.
Bank Negara Malaysia dijangka akan menaikkan kadar dasar semalaman pada tahun 2023.

Ura-ura kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijangka berlaku pada akhir bulan ini sudah tentu membuatkan ramai tidak senang duduk kerana bimbang ia akan menjejaskan status kewangan rata-rata isi rumah.

Sebelum ini, BNM menaikkan OPR sebanyak empat kali pada tahun lalu selepas ia mencecah paras terendah 1.75% sejak negara dilanda ancaman wabak Covid-19 pada awal 2020.

Kenaikan itu menyaksikan OPR naik 100 mata asas secara kumulatif kepada 2.75%.

Meskipun ramai sudah "mengeluh" dengan kadar itu, ia bagaimanapun masih belum mencecah paras sebelum era Covid-19 iaitu 3.25% yang disaksikan pada 5 Mac 2019.

Sebelum ini, ramai penganalisis ekonomi menjangkakan BNM akan terus menaikkan OPR sekurang-kurangnya mencecah 3.00% pada tahun ini seiring dengan prestasi ekonomi yang lebih baik sebelum memutuskan untuk "berehat" sebentar.

Apakah maksud OPR?

OPR merupakan kadar faedah dasar yang mempengaruhi kadar pemberian pinjaman dan pembiayaan bank serta kadar deposit.

Oleh itu, ia menentukan kos pinjaman bank dan pulangan deposit bagi produk kewangan konvensional dan kewangan Islam.

Dengan kata mudah, apabila OPR naik, maka kos pinjaman akan meningkat yang mana peminjam perlu "membayar lebih" mengikut angka baru yang ditetapkan.

Penganalisis Penyelidik di EMIR Research Amanda Yeo menjelaskan sebagai contoh, kenaikan 0.25% OPR bagi pinjaman rumah berjumlah RM500,000 dengan tempoh 30 tahun akan menyaksikan kenaikan RM71 setiap bulan kepada bayaran ansurannya.

Justeru, dalam tempoh 30 tahun, peminjam perlu membayar tambahan RM25,560 bagi jumlah faedah.

"Memandangkan OPR meningkat 0.75%, ramai individu dan isi rumah dijangka akan terjejas dalam menguruskan perbelanjaan melibatkan makanan, utiliti dan pendidikan anak-anak," katanya kepada MalaysiaNow.

Tetapi dari sudut positif, peningkatan kadar faedah juga akan menggalakkan orang ramai melabur dalam Deposit Tetap apabila ia menawarkan pulangan faedah yang lebih tinggi.

Siapa tentukan naik turun OPR?

Baru-baru ini apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan bahawa keputusan menaikkan OPR adalah hak BNM, beliau menerima kecaman kerana kenyataan itu tidak selari dengan apa yang dikatakannya Julai tahun lalu.

Pada masa itu, Anwar menuntut supaya perdana menteri Ismail Sabri Yaakob supaya terus berjaga-jaga dengan risiko kes bankrap susulan kenaikan OPR dan kerajaan tidak seharusnya menjadi penyelamat terhadap konglomerat gagal.

Tetapi pada sidang medianya baru-baru ini sebagai perdana menteri dan menteri kewangan, Anwar mengatakan penentuan OPR bukan dalam bidang kuasa Kementerian Kewangan.

Berdasarkan laman sesawang rasmi BNM, keputusan sama ada menaikkan atau menurunkan OPR ditentukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dengan mengambil kira situasi semasa ekonomi negara.

"Bagi mencapai kestabilan monetari, MPC menetapkan dasar monetari bagi memastikan inflasi kekal rendah dan stabil yang menyokong pertumbuhan ekonomi," demikian menurut BNM.

Sementara itu, Yeo berpandangan bahawa BNM tidak perlu lagi menaikkan OPR, sebaliknya bersedia untuk menurunkan susulan jangkaan kemelesetan ekonomi.

"Penangguhan kenaikan OPR dan menurukannya mampu membantu isi rumah menguruskan hutang mereka lebih baik," tambah beliau.