- Iklan -
Berita

Ahmad Redza dilantik ketua pengarah kerja raya baru

Pelantikan beliau diumumkan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali menggantikan Mohamad Zulkefly Sulaiman.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali menyerahkan watikah pelantikan sebagai ketua pengarah kerja raya kepada Ahmad Redza Ghulam Rasool. Gambar: Facebook
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali menyerahkan watikah pelantikan sebagai ketua pengarah kerja raya kepada Ahmad Redza Ghulam Rasool. Gambar: Facebook

Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) Ahmad Redza Ghulam Rasool dilantik sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya berkuat kuasa hari ini.

Mengumumkan perkara itu hari ini, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dalam kenyataan berkata Redza, 59, dilantik menggantikan Mohamad Zulkefly Sulaiman.

“Pelantikan Ahmad Redza adalah berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepimpinan dan pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan, pengurusan projek pembangunan dan pengurusan aset,” katanya.

Redza pernah memegang jawatan pengarah negeri di beberapa negeri selain pengarah kanan di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (JKR). 

Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 39 tahun sebagai jurutera awam bermula pada 21 Disember 1984 dan mempunyai ijazah sarjana muda sains kejuruteraan awam dari Universiti Missouri, Amerika Syarikat.

“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki Ahmad Redza dapat memacu agenda pembangunan dan infrastruktur negara sekali gus mengangkat JKR sebagai agensi teknikal utama negara bertaraf dunia,” katanya.

Zuki bagi pihak kerajaan turut merakamkan setingi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Zulkefly atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sepanjang perkhidmatan.