- Iklan -
Berita

Mahathir perlu bertanggungjawab terhadap ‘konspirasi’ Sheraton, kata Kit Siang

Veteran DAP itu menggesa Anwar mengabaikan bekas perdana menteri itu dan meneruskan usaha menunaikan janji untuk reformasi institusi.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (tengah) berucap dalam sebuah acara bersama pimpinan Pakatan Harapan termasuk Lim Kit Siang (kedua dari kiri) di Petaling Jaya pada 14 Oktober 2017. Gambar: AFP
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (tengah) berucap dalam sebuah acara bersama pimpinan Pakatan Harapan termasuk Lim Kit Siang (kedua dari kiri) di Petaling Jaya pada 14 Oktober 2017. Gambar: AFP

Veteran DAP Lim Kit Siang hari ini mengulas kebimbangan Dr Mahathir Mohamad terhadap keupayaan Anwar Ibrahim mengetuai negara, mengatakan bekas perdana menteri itu “tidak boleh cuci tangan” berhubung Langkah Sheraton, yang menyebabkan kerajaan diterajuinya tumbang pada 2020, selepas 22 bulan menduduki Putrajaya.

Lim berkata Anwar yang dilantik sebagai perdana menteri awal bulan ini perlu “mengabaikan Mahathir” dan menghayati pengajaran paling penting dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Mahathir selama 22 bulan dengan melaksanakan “sebanyak mungkin reformasi institusi kerana kerajaan yang ada ini tidak semestinya akan bertahan selama lima tahun”.

“Mahathir telah terlepas peluang untuk berbuat demikian dan Anwar tidak boleh mengulangi kesilapan sebegini,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

“Walaupun kerajaan PH pimpinan Mahathir sebelum ini ditumbangkan secara tidak sah melalui konspirasi politik Langkah Sheraton, Mahathir sendiri tidak boleh mencuci tangannya daripada bertanggungjawab terhadap konspirasi ini.”

Mahathir berganding bahu dengan PH dan seterusnya mengetuai gabungan itu dalam memenangi pilihan raya umum (PRU) 2018 di mana Barisan Nasional (BN) tumbang, mempersoalkan keupayaan Anwar untuk mengetuai Malaysia dalam usaha negara memulihkan ekonominya dan berdepan cabaran pasca pandemik.

Beliau juga berkata pengerusi PH itu kelihatan menumpukan perhatiannya untuk mengekalkan sokongannya di Dewan Rakyat, selepas gabungan politik yang sebelumnya bertentangan bersatu untuk menyokongnya sebagai perdana menteri susulan keputusan tidak muktamad PRU15 pada 19 November lalu.

Mahathir, yang memegang jawatan sebagai perdana menteri sebanyak dua kali, berkata presiden PKR itu tidak dapat mencari penyelesaian dalam menghadapi krisis kewangan 1997, dan kini berdepan masalah yang lebih rumit.

"Pada masa saya jadi perdana menteri kali pertama, saya pergi cuti selama dua bulan. Semasa saya cuti, Anwar sebagai timbalan perdana menteri (TPM), diberi tanggungjawab sebagai pemangku perdana menteri, tetapi nampak dia tak dapat menangani masalah.

"Ketika itu, nampak dia tidak dapat cipta satu cara untuk mengatasi krisis. Sama ada di masa hadapan, dia boleh cipta cara menangani masalah negara, belum kita dapat tentukan.

"Tetapi berdasarkan pengalaman semasa dia jadi TPM (dan) menunjuk kebolehannya, saya khuatir. Sekarang ini negara menghadapi banyak masalah seperti kesan pandemik, ekonomi merosot teruk, keadaan politik tidak stabil.

"Rakyat masih tidak senang dengan keadaan negara. Banyak masalah yang perlu ditangani oleh kerajaan Anwar," katanya dalam sebuah temu bual bersama Berita Harian baru-baru ini.

Bagaimanapun, Lim menggesa Anwar menunaikan janjinya untuk tidak berkompromi dalam usaha mempekukuhkan amalan tadbir urus yang baik, usaha membanteras rasuah, kebebasan kehakiman, dan kebajikan rakyat.

"Anwar perlu sentiasa sedar yang terdapat kuasa-kuasa politik yang sedang cuba untuk menamatkan riwayat kerajaannya seawal yang mungkin,” tambah bekas ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.