- Iklan -
Berita

Timbalan menteri komunikasi nafi kerajaan tak boleh dikritik

Teo Nie Ching berkata pandangan terutama ktitikan membina sememangnya dialu-alukan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching mendengar taklimat daripada pengurusan Radio Televisyen Malaysia di Kuala Lumpur. Gambar: Facebook
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching mendengar taklimat daripada pengurusan Radio Televisyen Malaysia di Kuala Lumpur. Gambar: Facebook

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching menyangkal dakwaan kabinet kerajaan tidak boleh dikritik termasuk di media sosial dan boleh berdepan tindakan disekat (blocked) dan disaman.

Sebaliknya, beliau berkata rakyat dialu-alukan untuk menyampaikan pandangan terutama kritikan membina tetapi tidaklah sehingga mengeluarkan kenyataan yang boleh melanggar undang-undang.

“Saya tidak tahu kenapa anggapan ini wujud kerana saya rasa memang ini (dakwaan) tidak betul.

“Seperti Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) telah menyebut beliau mengalu-alukan kritikan membina, bukan cakap tak boleh kutuk perdana menteri, menteri atau timbalan-timbalan menteri,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Kawalan Operasi Bencana di pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor Bahru hari ini.

Teo bagaimanapun menegaskan pihaknya tidak mahu ucapan kebencian demi menjaga sentimen dan keharmonian masyarakat, selain kenyataan yang melanggar undang-undang khasnya isu 3R (race, religion, royalty) iaitu perkauman, agama dan raja.

Ahli Parlimen Kulai itu berharap tidak ada pihak yang memainkan isu 3R berkenaan sehingga menimbulkan situasi yang tidak baik.

Katanya kerajaan dan agensi terlibat juga bertanggungjawab untuk memastikan informasi palsu tidak tersebar luas terutama melibatkan isu keselamatan.