- Iklan -
Berita

MetMalaysia keluarkan amaran hujan berterusan sehingga esok

Beberapa negeri di semenanjung, Sabah dan Sarawak dijangka mengalami ribut petir dan hujan lebat bermula petang ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kereta meredah hujan lebat di sebuah di Pahang. Beberapa negeri dijangka mengalami ribut petir dan hujan sehingga esok.
Sebuah kereta meredah hujan lebat di sebuah di Pahang. Beberapa negeri dijangka mengalami ribut petir dan hujan sehingga esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di kebanyakan kawasan di semenanjung sehingga esok. 

MetMalaysia menerusi kenyataan hari ini memaklumkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu manakala hujan berterusan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Hulu Perak), Kelantan (Gua Musang), Terengganu (Kemaman), Pahang (Jerantut, Kuantan dan Pekan).

Menurut jabatan itu, petang ini dijangka berlaku ribut petir di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Johor dan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.

Hujan diramal malam ini di seluruh negara kecuali di beberapa kawasan di Sarawak (Kuching, Serian dan Samarahan) dan Sabah (Tawau) manakala ribut petir dijangka berlaku di Sandakan dan Kudat.

Esok, hujan dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor dan beberapa lokasi di Sabah (Pantai Barat, Sandakan dan Kudat).

Pada petang Sabtu, ribut petir diramal di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Johor serta beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.

Pada Ahad (4 Disember) MetMalaysia menjangka berlakunya hujan pada sebelah pagi di Perlis, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan beberapa kawasan di Sabah.

Pada petang dan malam pula diramal ribut petir di kebanyakan kawasan di seluruh negara.