- Iklan -
Berita

Tiada keputusan mengenai PM selepas Anwar, Muhyiddin mengadap Agong

Anwar Ibrahim berkata Agong menggesa supaya kerajaan 'inklusif' ditubuhkan dengan persefahaman daripada parti-parti lain.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pakatan harapan Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita di pintu pagar Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.
Pengerusi Pakatan harapan Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita di pintu pagar Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berkata tiada sebarang keputusan dibuat mengenai calon perdana menteri selepas sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini selepas beberapa hari Parlimen tergantung berikutan tiada keputusan muktamad dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Bercakap kepada pemberita, Anwar Ibrahim berkata Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menggesa supaya kerajaan "inklusif" ditubuhkan dengan persefahaman daripada parti-parti lain.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Anwar berkata Agong menggesa supaya kerajaan "inklusif" ditubuhkan, dan mahu semua pihak mencapai persefahaman.

“Ia akan membolehkan kerajaan menumpukan usaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat dan kembali memangkinkan ekonomi,” katanya.

“Saya memanjatkan rasa terima kasih kepada Agong dan berkata kami akan melakukan yang terbaik dan mentaati nasihat itu, dan menunggu keputusan akhir di mana ia adalah budi bicara Agong sendiri.

“Masih tiada sebarang keputusan lagi setakat ini,” katanya. 

Beliau turut menjawab soalan wartawan sambil bergurau: “Ada kekosongan jawatan terbuka untuk permohonan.”

Anwar dan pencabar utamanya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin bertembung dalam persaingan untuk mendapatkan sokongan ahli Parlimen berikutan keputusan pilihan raya umum pada 19 November lalu yang menyaksikan PH-Muda memenangi 82 kerusi, sementara PN mendapat 73 kerusi.

Kedua-dua pemimpin itu mendakwa mempunyai jumlah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan, di mana Muhyiddin menerima sokongan Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah yang masing-masing memenangi 23 dan enam kerusi.

Sementara Barisan Nasional (BN) yang mengalami kekalahan teruk dengan hanya memenangi 30 kerusi, berkata ia tidak akan menyokong PN mahupun PH, di samping menegaskan ia akan memainkan peranan sebagai pembangkang.

Kekeliruan tercetus akibat laporan salah berhubung keputusan Agong

Laman sesawang berita The Vibes dilihat memadam ciapan Twitter yang mendakwa Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai perdana menteri, manakala wartawan agensi CNA yang berpangkalan di Singapura, Melissa Goh memetik seorang pembantu Anwar berkata beliau telah dilantik sebagai perdana menteri sementara bagi membolehkannya mendapatkan majoriti di Parlimen.

Sementara itu, NST pula melaporkan Anwar telah dilantik sebagai perdana menteri sementara.