- Iklan -
Berita

Calon PM Muhyiddin, Anwar yakin menang PRU di sebalik persoalan undi Melayu

Kedua-dua pemimpin itu mendakwa mempunyai sokongan masyarakat Melayu 48 jam sebelum kempen pilihan raya berakhir.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin berucap dalam ceramah kempen Pilihan Raya Umum ke-15.
Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin berucap dalam ceramah kempen Pilihan Raya Umum ke-15.

Dua calon utama perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan bahawa gabungan dipimpin mereka bakal memenangi pilihan raya akan datang, di samping mengakui sokongan daripada masyarakat Melayu sangat penting dalam membentuk kerajaan.

Bercakap di saluran berita Astro Awani dalam temu bual eksklusif berasingan 48 jam sebelum kempen berakhir pada pada tengah malam Jumaat ini, kedua-dua pemimpin itu turut mendakwa sokongan padu dalam kalangan masyarakat, susulan tinjauan yang menumpukan penerimaan etnik Melayu terhadap Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin berkata penyertaan PAS dalam PN telah meningkatkan sokongan orang Melayu kepada PN, sambil menambah telah meningkatkan keyakinannya untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

“Saya fikir yang penting di kalangan PN, kalau gelombang di kalangan Melayu kukuh dan kuat, “ katanyanya.

“(Dan kita) sudah lihat ada petanda-petanda (sokongan) begitu, kemungkinan kita akan capai. Kita akan tahu dalam masa tiga hari ini apa akan berlaku.

“Kalau ada satu perasaan, mereka (sebenarnya) takut dan bimbang kalau negara ini jatuh ke satu tangan (kepada) pihak yang dijangka akan membawa musibah atau terlibat dalam salah laku rasuah dan sebagainya, ada kebimbangan begitu terutama dalam kalangan Melayu, sebab itu kemungkinan sasaran boleh tercapai.”

Sementara itu, Anwar yang kini bergelut mendapatkan sokongan kepada PH ketika tinjauan menunjukkan ia berdepan defisit kepercayaan dalam kalangan orang Melayu, menolak dakwaan yang mengatakan sokongan terhadap PH di kawasan pedalaman sudah berkurangan. 

“Itu andaian yang tidak semestinya tepat, sebab itu dia gunakan fitnah dan serangan yang kasar terhadap DAP dan salah satunya ialah saya berkawan dengan DAP.

“Tetapi saya juga turun ke bawah dan mengupas isu ini bahawa Malaysia ini, tidak boleh lari daripada tunggak kemelayuannya, bahasanya, budayanya, agama Islam dan raja-raja Melayu.

Beliau turut bersetuju bahawa lebih banyak masa perlu diberikan untuk menjelaskan isu tersebut kepada penduduk kampung.

“Saya puas hati kerana ramai juga orang lama dan guru-guru agama yang tidak senang dengan cara rendah akal budi, akhlak dan fitnah ini dan menganggap parti itu sebagai parti yang monopoli agama.”

Kenyataan mereka dibuat beberapa jam selepas tinjauan pendapat badan global YouGov menerbitkan dapatannya mengenai populariti mereka serta peluang gabungan mereka untuk memenangi pilihan raya.

Dapatan badan itu berkata Muhyiddin adalah calon perdana menteri paling popular, memperoleh “penerimaan terbaik” dari 33% pengundi.

Sementara Anwar berada di tempat keduadengan 29% penerimaan, manakala Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di tempat ketiga dengan 22% responden membertikan pandangan positif terhadap beliau.

Tinjauan YouGov terhadap pengundi secara individu juga mendapati PH mungkin mendapat bahagian terbesar undi sebanyak 35%, namun tidak menamakan gabungan itu sebagai pemenang.  

Manakala PN berada di tempat kedua dengan 20%, diikuti BN sebanyak 17%.