- Iklan -
Berita

Dari mana sumber RM2.5 juta, persoalan berhubung aset Invoke Rafizi terus berbangkit

Menurut pemimpin Bersatu itu, jika dibandingkan pengisytiharan harta pada 2015 dengan kenyataan terbaru timbalan presiden PKR itu, jumlahnya didapati tidak setara.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli ketika memberikan ceramah kempen pilihan raya di Sungai Besar pada 9 November lalu.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli ketika memberikan ceramah kempen pilihan raya di Sungai Besar pada 9 November lalu.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli kini dipersoalkan mengenai sumber sejumlah RM2.5 juta yang didakwa disuntik masuk ke dalam Invoke Solutions, syarikat bukan berasaskan keuntungan yang dikaitkan dengan parti itu, di mana beliau mengisytiharkan saham syarikat bernilai kira-kira RM17 juta sebagai miliknya.

Pemimpin Bersatu Dr Abdul Latiff Ahmad berkata kenyataan Rafizi yang mengatakan beliau melabur RM2.5 juta daripada simpanannya sendiri ke dalam Invoke pada 2016 menimbulkan persoalan kerana tiada wang tunai seperti itu dalam simpanannya ketika beliau mengisytiharkan harta setahun sebelum itu.

Sebelum ini, Rafizi berkata selain daripada pendapatannya, beliau juga dibayar pampasan kira-kira RM400,000 dari Petronas, selain memperoleh pendapatan lumayan dalam pound sterling ketika bekerja di United Kingdom.

Semakan terhadap pengisytiharan asetnya pada 2015 menunjukkan tiada satu pun pendapatan yang didakwanya itu disertakan dalam senarai asetnya.

Pengisytiharan aset itu menunjukkan beliau mempunyai kira-kira RM1.3 juta dalam bentuk deposit di pelbagai akaun, termasuk kira-kira RM644,000 dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), RM460,000 dalam Tabung Haji dan RM212,000 dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB). 

Sementara dalam pengisytiharan aset yang dibuat baru-baru menunjukkan deposit tunainya berjumlah RM1.18 juta, termasuk simpanan dalam KWSP di mana ia meningkat kepada RM1.1 juta, manakala simpanan di Tabung Haji susut kepada RM12,000, dan jumlah wang dalam akaun ASB beliau tidak lagi disenaraikan.

Latiff mempersoalkan dari mana Rafizi memperolehi RM2.5 juta sedangkan pada 2015 ia itu tidak disenaraikan.

“Apakah sumber wang ini, dan mengapakah wang ini tidak diisytiharkan dalam akuan berkanun bertarikh 10 Mac 2015?

"Rafizi sering mendabik dada bahawa beliau adalah akauntan bertauliah. Saya menyatakan kepadanya di sini, 'Rafizi, the numbers don’t add up'." kata Latiff dalam satu kenyataan.

Kenyataan Latiff dikeluarkan hanya beberapa hari selepas Rafizi dilihat naik angin ketika menolak untuk menjawab soalan mengenai pengisytiharan hartanya yang menunjukkan lonjakan aset beliau meningkat dalam tempoh tujuh tahun.

Pada 9 November, beliau dilihat jengkel dengan soalan yang dilontarkan kepadanya semasa sidang media, menyelar pengkritiknya dan menuduh mereka tidak memahami kewangan dan cara untuk menguruskan sebuah syarikat.

Beliau juga juga turut memperlekehkan wartawan MalaysiaNow kerana meminta penjelasan mengenai aset yang diisytiharkan, mendakwa mereka yang dalam sidang itu tidak akan dapat memahami penjelasannya.

"Saya tak fikir sebahagian besar daripada anda memahaminya," katanya, di mana ia menarik kritikan di media sosial, dengan ramai yang menyifatkan kenyataan tersebut sebagai "sombong".

Rafizi, yang bakal bertanding untuk merebut kerusi Parlimen Pandan pada 19 November depan, menjadi tumpuan ramai berikutan pengisytiharan hartanya yang menyenaraikan RM16.7 juta saham Invoke sebagai sebahagian daripada keseluruhan RM19.67 juta dalam aset yang dimilikinya.

Latiff membangkitkan persoalan terhadap Rafizi kerana menyenaraikan saham bernilai RM16.7 juta itu sebagai miliknya, mengingatkan tiada seorang pun kakitangan di Invoke diberikan saham selepas beliau berjanji lima tahun lalu. 

Rafizi kemudiannya mengakui kakitangannya tidak diperuntukkan saham, dan berjanji mereka akan diberi ganjaran sebaik sahaja syarikat itu disenaraikan di bursa.

Dalam kenyataannya hari ini, Latiff juga berkata jawapan Rafizi hanya menimbulkan lebih banyak persoalan yang lebih serius.

Beliau turut menggesa siasatan dibuat terhadap pemimpin PKR itu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan Akta Akuan Berkanun 1960.

"Saya menyeru pihak berkuasa supaya memandang serius perkara ini kerana Invoke telah juga  meminta dan menerima banyak sokongan daripada awam, termasuk sokongan dana," tambahnya.