- Iklan -
Berita

PN ikrar lebih banyak peruntukan sektor kesihatan, tubuh suruhanjaya tangani masalah doktor

Selain penubuhan suruhanjaya perkhidmatan kesihatan, gabungan itu turut mengumumkan 14 tawaran lain bagi menambah baik sektor kesihatan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berucap ketika pelancaran manifesto PN bagi Pilihan Raya Umum ke-15.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berucap ketika pelancaran manifesto PN bagi Pilihan Raya Umum ke-15.

Perikatan Nasional (PN) berikrar akan membentuk suruhanjaya perkhidmatan kesihatan untuk menangani masalah yang dihadapi doktor dan meningkatkan peruntukan untuk sektor kesihatan sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum pada 19 November depan.

Suruhanjaya itu adalah antara tawaran manifesto gabungan itu yang bakal memainkan peranan dalam menyelesaikan isu perjawatan doktor, kes buli dan dan menumpukan kebajikan doktor serta menangani isu kekurangan doktor pakar.

Isu perjawatan tetap doktor kerajaan menjadi isu hangat dalam negara di mana ketika kemuncaknya ia mencetuskan hartal doktor kontrak yang berlangsung pada Julai tahun lalu di beberapa hospital utama di Malaysia.

Selain itu, sektor kesihatan turut dikejutkan dengan isu doktor pelatih dibuli sehingga mengakibatkan ramai daripada mereka berhenti. 

Isu kekurangan doktor pakar dalam negara turut disuarakan persatuan-persatuan perubatan di mana mereka berkata ia boleh merugikan negara.

Dalam manifestonya, PN turut berjanji akan meningkatkan peruntukan kesihatan daripada 5% keluaran dalam negara kasar (KDNK) secara berperingkat bagi memperkasakan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin menyuarakan hasrat kerajaan untuk meningkatkan peruntukan 5% dari KDNK beberapa bulan lalu.

Selain itu, manifesto PN antara lain menawarkan pengecualian cukai khusus sebanyak RM3,000 bagi aktiviti sukan dan riadah bagi mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Ia turut berjanji untuk menyediakan dana khas bagi mempercepatkan kerja-kerja penyelenggaraan hospital selain menambah bilangan doktor pakar dan menaik taraf hospital daerah. 

Manifesto Perikatan Nasional bertemakan Malaysia Gemilang menjanjikan kerajaan prihatin, bersih dan stabil.

Sebanyak 12 tunjang digariskan dengan 30 pendekatan serta 234 tawaran. 

Daripada jumlah itu 14 tawaran dibuat berkaitan kesihatan.

Item lain termasuklah jaringan pengangkutan awam yang cekap dan kemudahan parkir yang mampan di setiap hospital, selain memperluaskan khidmat jururawat komuniti untuk pesakit lumpuh dan anak bekeperluan khas.