- Iklan -
Berita

Pengedar dadah Malaysia aktif jual ganja dalam talian

Aplikasi media sosial seperti Instagram dan Telegram menjadi platform popular untuk transaksi sulit melibatkan dadah terlarang.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi

Pengedar dan penjual dadah mula memanfaatkan platform dan aplikasi dalam talian seperti Telegram dan Instagram untuk menjual barangan terlarang, di mana pelbagai jenis dadah bagi tujuan perubatan sehingga dadah bagi tujuan rekreasi disediakan.

Proses transaksi untuk pembeliannya mudah: sebagai contoh, di Instagram, penjual menggunakan tanda pagar, dan bakal pembeli akan menjejak frasa seperti #goGreen atau #allcansmoke.

Sementara itu, di Telegram, akaun di bawah nama “green” didapati aktif menjual ganja, dengan harga promosi ditawarkan hampir setiap minggu.

Pelanggan boleh memilih menu yang mereka gemari dan menyemak harga yang dikemas kini setiap hari.

Di Malaysia, akaun dengan nama seperti "GoGreenBot", "Go Green Malaysia", "Malaysia Marijuana Culture" dan "Weed Malaysia Go Green" secara aktif menawarkan beberapa jenis ganja termasuk pilihan produk dari Colombia dan Thailand.

Kumpulan ini beroperasi di bawah slogan “Now Everyone Can Smoke”.

Semakan MalaysiaNow terhadap salah satu kumpulan dalam talian ini mendapati diskaun dan testimoni pengguna dikongsi hampir setiap hari oleh pentadbir tak bernama dalam aplikasi tersebut.

Pelanggan kemudian menghubungi akaun tersebut melalui mesej peribadi.

Pembelian boleh dibuat secara peribadi atau dalam talian, dengan syarat perkataan sensitif seperti “kanabis”, "ganja" atau “barang hijau" tidak digunakan dalam urus niaga.

Jika pembeli memilih untuk membuat urus niaga secara bersemuka, pertemuan akan diaturkan dengan ejen penghatantaran di mana dadah yang dibeli disembunyikan dalam bungkusan yang kelihatan tidak disyaki.

Namun di sebalik aktiviti haram itu, masih tiada statistik yang jelas mengenai transaksi perniagaan  dadah melalui media sosial.

Kumpulan sasaran

Walaupun terdapat perbahasan mengenai usaha menghalalkan ganja bagi tujuan perubatan, Malaysia masih mempunyai undang-undang keras mengenai bahan tersebut.

Sesiapa yang didapati memiliki 200gm ganja boleh dianggap sebagai melakukan jenayah mengedar dadah dan boleh dikenakan hukuman mati mandatori, sementara mereka yang memiliki 50gm atau kurang boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun.

Tinjauan baru-baru ini oleh kerajaan Malaysia mendapati  kira-kira 617,000 orang berusia 15 hingga 40 pernah menggunakan dadah atau menyalahgunakan bahan itu sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka, manakala kira-kira 395,000 menggunakan dadah dalam tempoh 30 hari lalu.

Semakan MalaysiaNow mendapati, secara umumnya, golongan muda menjadi sasaran utama kartel dadah.

Walupun wujud risiko pembeli ditahan atau ditangkap pihak berkuasa, selain tiada jaminan kualiti dadah yang dibeli dalam talian.

Namun, bagi golongan muda, internet menjadi tempat yang sesuai untuk akses mudah kepada dadah.

"Tiada hubungan antara pembeli dan penjual," kata ahli kumpulan Telegram berusia 29 tahun yang tidak mahu namanya disiarkan.

"Mereka tidak kenal antara satu sama lain. Jadi traksaksi pembelian dan jualan menjadi mudah, dan keraguan mengenainya pun kurang."

Pemuda itu berkata, dia mengetahui tentang akaun Telegram itu melalui perbualan dengan rakan sekerjanya.

Akaun dalam talian itu juga dipercayai telah ditubuhkan beberapa tahun lalu, walaupun nama kumpulan itu ditukar beberapa kali untuk mengelak tindakan pihak berkuasa.

Walaupun dia sendiri mengambil ganja di luar waktu pejabat, pemuda itu berkata tidak semua orang dalam masyarakat menggunakan dadah itu hanya untuk berkhayal.

“Ada antara mereka membeli ganja untuk tujuan perubatan,” katanya.

"Tetapi, bagaimana ganja perubatan berfungsi, saya tidak pasti. Saya hanya pernah dengar, tidak pernah melihatnya sendiri."

'Syarikat samaran' di Kedah?

MalaysiaNow masih berusaha untuk mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai akaun Telegram "Go Green Bot" yang mula aktif selepas Thailand membenarkan penanaman ganja dan penggunaan bahan itu dalam makanan dan minuman.

Dalam kumpulan ini, pembeli yang berminat diarahkan untuk membuat pembayaran ke akaun AmBank di bawah nama HZ Food Store.

Semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati sebuah syarikat di Jitra, Kedah dengan nama yang sama, mendakwa menjalankan perniagaan borong makanan dan minuman.

Penduduk tempatan yang ditemui MalaysiaNow berkata pemiliknya juga mengusahakan restoran dan mempunyai kilang roti di Thailand, yang kini mempunyai industri kanabis yang berkembang pesat merangkumi beberapa negara termasuk Thailand, Laos, Myanmar dan Kemboja.

Usaha MalaysiaNow menjejaki nama pemegang akaun AmBank untuk syarikat HZ Food Store setakat ini gagal kerana ia dianggap sebagai perkara peribadi dan sulit.