- Iklan -
Berita

Jika benar Anwar rapat dengan Arafat, tarik balik kenyataan pro Israel, soal Bersatu

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu tingkat desakan terhadap presiden PKR yang mendakwa dirinya 'pejuang nombor satu Palestin'.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Bersatu sekali lagi menggesa Anwar Ibrahim untuk berterus-terang dalam pendiriannya mengenai Israel, mengatakan dakwaan presiden PKR baru-baru ini bahawa beliau "pejuang nombor satu Palestin" tidak meredakan kebimbangan terhadap kenyataannya pada 2012 yang mempertahankan negara Zionis itu.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata Anwar mesti menarik balik kenyataan yang diterbitkan oleh The Wall Street Journal, di mana beliau dilaporkan berkata akan "menyokong kesemua ikhtiar untuk membela keselamatan negara Zionis Israel itu daripada apa-apa ancaman keselamatan".

"Saya menyeru Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sebagai calon PM Pakatan Harapan untuk segera menyatakan sama ada beliau akan menarik balik atau tidak kenyataan tersebut. 

“Rejim Israel harus mendapat mesej yang amat jelas bahawa pemimpin negara ini tidak akan berkompromi sama sekali dengan mereka," kata Faizal dalam kenyataannya hari ini.

Beliau memberikan respons terhadap sebuah laporan memetik Anwar yang mengatakan beliau mengangkat perjuangan rakyat Palestin, beberapa hari selepas Bersatu mempersoalkan mengapa seorang suspek agen upahan Mossad bergambar sambil mengibarkan bendera PKR.

Raibafie Amdan, salah seorang daripada beberapa suspek yang didakwa menculik Omar ZM Albelbaisy Raeda di Kuala Lumpur bulan lalu, dirakam mengibarkan bendera PKR dalam sebuah hantaran media sosial oleh isterinya, Nidarahayu Zainal, yang turut didakwa atas penculikan itu.

Insiden itu mencetuskan kebimbangan mengenai jaringan Mossad dalam negara bagi menjalankan operasi rahsia menggunakan agen upahan tempatan.

Berikutan pembongkaran itu, PKR menjarakkan diri daripada pasangan tersebut, mengatakan ia tiada kaitan dengan parti dan tidak boleh menghalang "tindakan dan pilihan mereka".

Namun, ia mencetuskan semula kecaman ramai terhadap kenyataan kontroversi pemimpin PKR itu yang menyokong keselamatan Israel, di mana ia juga turut mendapat kecaman kedutaan Palestin di Malaysia.

‘Rapat dengan Yasser Arafat’

Bagi menjawab Faizal, Anwar mendakwa beliau rapat dengan pemimpin Palestin Yasser Arafat yang sudah meninggal dunia.

“Walaupun ketika saya dipenjarakan, Yasser menulis surat panjang kepada Dr Mahathir Mohamad, yang ketika itu menjadi perdana menteri, menjelaskan bahawa beliau melakukan kesilapan kerana meletakkan saya di penjara,” katanya dalam laporan Malay Mail.

MalaysiaNow bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan Anwar tersebut.

Dalam kenyataannya, Faizal berkata jika benar apa yang didakwa oleh Anwar itu, maka tidak sepatutnya sukar untuk beliau menarik balik kenyataan yang menyokong Israel.

“Mengelak daripada menjawab atau memberi penjelasan yang kabur sudah menjadi ciri Anwar yang dikenali ramai,” katanya lagi.

Beliau turut seorang pemimpin seperti Anwar atau mana pemimpin perlu mengelak dari sifat “takabbur”dengan menggelar diri sebagai pejuang nombor satu Palestin di Malaysia.

"Saya sendiri  telah ditangkap oleh tentera komando Israel pada tahun 2010 bersama 5 orang aktivis Malaysia ketika menaiki kapal flotilla Rachel Corrie untuk memberi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

"Tetapi saya tidak pernah menepuk dada dan menggelar diri sebagai pejuang palestin nombor satu."