- Iklan -
Berita

Pasukan siasatan beri penilaian buruk terhadap Tommy Thomas sebagai peguam negara

Kejadian campur tangan, tuduhan tidak berasas, tidak tahu prosedur dan undang-undang serta konflik kepentingan diperincikan dalam laporan panjang lebar.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Tommy Thomas bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Julai 2018. Gambar: AFP
Bekas peguam negara Tommy Thomas bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Julai 2018. Gambar: AFP

Kurang pengalaman dan kemahiran untuk menguruskan Jabatan Peguam Negara, tingkah laku yang mempunyai konflik kepentingan, kronisme serta campur tangan secara terang-terangan terhadap pelantikan hakim kanan, adalah antara beberapa dapatan terhadap tingkah laku buruk Tommy Thomas sepanjang tempoh singkatnya sebagai peguam negara, menurut sumber yang mengetahui tentang laporan panjang lebar pasukan petugas khas.

Laporan lebih 800 muka surat yang disediakan oleh pasukan petugas khas yang ditubuhkan akhir tahun lalu bagi meneliti dakwaan Thomas, dibentangkan kepada Kabinet bulan lepas.

Salinan laporan sulit itu dikatakan telah dibocorkan dalam talian, dan kini merupakan subjek siasatan polis.

MalaysiaNow tidak dapat memetik kandungan laporan tersebut.

Bagaimanapun, sumber rapat dengan siasatan sembilan bulan oleh pasukan itu berkata terdapat dapatan yang teruk mengenai kelakuan bekas peguam negara itu semasa memegang jawatan, termasuk tindakan yang menunjukkan beliau kurang pengetahuan mengenai undang-undang Malaysia dan ruang lingkup bidang kuasanya sebagai peguam negara.

Pasukan petugas yang terdiri daripada pakar undang-undang dan bekas pegawai kanan kehakiman diketuai bekas peguam besar Sarawak Fong Joo Chung, bagi meneliti dakwaan yang dibuat oleh Thomas dalam memoirnya "My Story: Justice in the Wilderness".

Buku itu mendapat kecaman daripada parti kerajaan dan pembangkang selain turut menjadi subjek dalam 240 laporan polis.

Selain itu, buku tersebut turut mengundang kritikan, yang antara lain, menyentuh gambaran negatifnya terhadap pegawai-pegawainya selain disifatkan sebagai naratif partisan dan berbaur perkauman.

Antara lain, Thomas berkata pegawai Jabatan Peguam Negara tidak layak mengendalikan kes berprofil tinggi seperti kes bekas perdana menteri Najib Razak, di mana ia dibidas peguam negara ketika ini Idrus Harun, mengatakan buku itu menunjukkan “pemikiran sempit daripada pengalaman singkat seorang yang tidak faham mengenai institusi perkhidmatan awam”.

"Dalam (laporan) siasatan ini, ada gambaran Thomas sebagai seseorang yang tidak mempunyai kemahiran untuk mengetuai badan kerajaan yang besar seperti Jabatan Peguam Negara,” kata sumber yang mengetahui mengenai siasatan pasukan sembilan anggota itu kepada MalaysiaNow.

Sumber turut berkata laporan pasukan petugas itu “sangat teliti dan terperinci", memetik beberapa contoh tingkah laku Thomas yang menunjukkan “kejahilannya terhadap undang-undang Malaysia".

Laporan itu juga mengatakan beliau turut membuat tindakan melangkaui skop tugasnya, dengan melantik individu bagi kes tertentu walaupun jelas terdapat konflik kepentingan.

"Peranan beliau dalam melantik bekas rakan sekolahnya bagi mengetuai Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), selepas memecat penyandang pengarahnya Sundra Rajoo turut disiasat dan dijelaskan secara terperinci," kata sumber itu.

Thomas turut didakwa mendapatkan khidmat peguam persendirian dalam isu-isu pertikaian membabitkan kerajaan, seperti cabaran Malaysia terhadap larangan Suruhanjaya Eropah terhadap minyak sawit dan kes rampasan kapal layar mewah Equanimity.

Kapal layar yang merupakan milik Low Taek Jho - ahli perniagaan yang terlibat dalam skandal penyelewengan berbilion ringgit dari 1MDB, dirampas pihak berkuasa Indonesia sebelum dikembalikan semula kepada Malaysia, di mana ia kemudiannya dijual kepada Genting Bhd susulan perbincangan yang diadakan di rumah Thomas.

"Laporan itu meneliti butiran bagaimana Thomas mencerca pegawainya kerana tidak mempunyai kepakaran bagi mengendalikan kes berkait Equanimity, di mana pasukan petugas khas yakin ia cukup untuk menimbulkan syak wasangka mengenai tindakannya untuk melibatkan peguam persendirian,” kata sumber itu.

Campur tangan dalam pelantikan hakim

Pasukan petugas khas turut berkata Thomas sepatutnya tidak terlibat dalam proses pelantikan hakim, namun beliau langsung tidak merahsiakan peranan yang dimainkannya dengan mengesyorkan nama calon hakim tertinggi kepada perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

“Ia berlaku sedangkan hakikatnya Thomas adalah peguam negara, bukannya ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK), badan yang ditugaskan untuk mengesyorkan calon hakim utama kepada perdana menteri.

"Namun, Thomas sendiri terang-terang kata beliau campur tangan dalam perkara ini," kata sumber itu.

Ekoran tindakan Thomas itu, tiga nama yang disyorkan oleh SPK diabaikan.

“Ia termasuk nama calon bagi jawatan ketua hakim negara, presiden Mahkamah Rayuan, dan ketua hakim Mahkamah Tinggi bagi Sabah dan Sarawak."

Pada Julai 2018, Richard Malanjum dilantik sebagai ketua hakim negara.

“Tetapi beliau bukan cadangan SPK, yang ketika itu mencadangkan Azahar Mohamed bagi menduduki jawatan tersebut.

"Begitu juga, Rohana Yusuf dan Abdul Rahman Sebli, dua nama yang disyorkan oleh SPK untuk jawatan presiden Mahkamah Rayuan dan ketua hakim bagi Sabah dan Sarawak, tidak dipertimbangkan."

Bekas rakan sekolah diberi jawatan

Pasukan petugas juga turut menemui isu salah guna kuasa oleh Thomas, apabila beliau menuduh Sundra, pengarah AIAC ketika itu melakukan rasuah berdasarkan surat yang tidak diketahui sumbernya.

“Selepas memaksa beliau meletakkan jawatan, Thomas melantik bekas rakan kongsinya Vinayak Prabhakar Pradhan sebagai pemangku pengarah AIAC. Ia dilakukan sebelum Sundra didapati bersalah melakukan rasuah seperti apa yang terkandung dalam surat yang menyasarkannya itu.

"Sekali lagi, hal ini bukan urusan peguam negara. Ia adalah tugas menteri undang-undang untuk mengendalikan pelantikan AIAC," kata sumber itu.

Thomas turut menyerang Sundra dalam beberapa petikan dalam bukunya dan menuduhnya melakukan rasuah. 

Sundra mencabar tuduhan tersebut di mahkamah. 

Pada April tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan beliau mempunyai kekebalan terhadap pendakwaan.

Awal tahun ini, Thomas menerima kecaman berikutan keputusan timbang tara terhadap kerajaan Malaysia berkaitan tuntutan kumpulan pewaris sultan Sulu yang pernah memerintah beberapa bahagian Malaysia termasuk Sabah.

Proses timbang tara itu berakhir dengan Malaysia diperintahkan untuk membayar AS$14.9 bilion (RM60 bilion), di mana dalam penghakimannya, surat kontroversi Thomas pada 2019 berulang kali disebut. 

Pengkritik berkata surat Thomas itu membantu kumpulan Sulu mengukuhkan penghujahan kes mereka.