- Iklan -
Berita

Mahkamah benar Najib hadiri prosiding rayuan terhadap Thomas

Peguamnya berkata arahan bekas perdana menteri itu penting semasa pendengaran rayuan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri, Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri, Najib Razak. Gambar: Bernama

Bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah, dibenarkan hadir ke mahkamah esok untuk mengikuti prosiding rayuan yang berkaitan dengan samannya terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas kerana didakwa melakukan penyelewengan dalam jawatan awam.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Kamaludin Md Said, Lim Chong Fong dan Azizul Azmi Adnan membenarkan permohonan ex-parte Najib untuk pihak penjara membawanya ke Mahkamah Rayuan esok bagi mengikuti prosiding mahkamah.

Peguam Najib, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memberitahu mahkamah bahawa kehadiran bekas perdana menteri itu ke mahkamah adalah penting bagi membolehkan peguam bela mendapat arahan yang sewajarnya daripadanya (Najib) berhubung rayuan itu.

Beliau juga berkata Najib mempunyai hak sebagai seorang yang memfailkan saman itu, untuk menghadiri prosiding di mahkamah esok.

Najib, 69, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos lepas yang menolak permohonannya untuk menggugurkan dua peguam daripada mewakili Tommy Thomas dalam saman Najib terhadap bekas peguam negara itu. 

Najib mendakwa pelantikan Alan Adrian Gomez dan Lai Wei Shiung bagi mewakili Thomas adalah tidak sesuai kerana mereka adalah dari firma yang sama dengan Thomas.

Menurut pernyataan tuntutan dalam samannya, Najib berkata beliau telah didakwa di mahkamah dalam kes membabitkan 1Malaysia Development Berhad, International Petroleum Investment Company, salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Thomas merupakan peguam negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.

Najib menuntut satu pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam serta menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.

Pada 25 November lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman yang difailkan Najib, dan bekas perdana menteri itu kemudiannya memfailkan notis rayuan pada 22 Dis lepas.

Mahkamah Rayuan menetapkan 4 Okt untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan samannya terhadap Thomas.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang bagi kes berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.