Mahkamah putuskan titah tambahan Agong tak sah, Najib kekal di Penjara Kajang
Keputusan itu tamparan kepada bekas perdana menteri di samping bakal meningkatkan bantahan penyokong Umno terhadap pentadbiran Anwar Ibrahim.
Terkini
Najib Razak hari ini gagal dalam usahanya melangkah keluar dari Penjara Kajang bagi menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa titah tambahan Yang di-Pertuan Agong yang dilampirkan pada pengampunan diraja beliau adalah tidak sah.
Keputusan itu dilihat bakal meningkatkan bantahan ahli Umno dan dalam kalangan penyokong bekas presiden parti itu terhadap kerajaan campuran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke, berkata sebarang arahan tambahan daripada Agong tidak boleh dikuatkuasakan memandangkan ia perlu dibawa ke dalam Lembaga Pengampunan.
Menurutnya, sebarang tindakan oleh Agong perlu dilakukan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, termasuk Perkara 42 mengenai kuasa pengampunan.
"Ia mengubah hukuman penjara dengan ketara dan harus dibincangkan di mesyuarat Lembaga Pengampunan," tambahnya.
Pada awal 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang turut dianggotai Anwar mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan mengurangkan denda RM240 juta kepada RM50 juta.
Susulan itu, muncul pendedahan bahawa sejurus sebelum menamatkan tempohnya sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-16, Sultan Pahang, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah menukilkan nota pada dokumen keputusan Lembaga Pengampunan, menggesa supaya Najib menjalani baki hukumannya sebagai tahanan dalam rumah.
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob merupakan antara ahli politik pertama yang membangkitkan kewujudan dokumen yang dikenali sebagai "titah adendum" itu di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Anwar dan pemimpin kerajaan berulang kali menolak dakwaan mengenai kewujudan adendum tersebut, dan berkata perkara itu hanya akan diputuskan oleh mahkamah.
Antara lain, Anwar berkata adendum tersebut tidak disentuh disebabkan Sultan Abdullah bukan lagi Agong.
"Apa-apa tindakan kita buat mesti rujuk kepada Yang di-Pertuan Agong," kata Anwar di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu.
Mahkamah Tinggi kemudiannya memutuskan untuk menolak dakwaan mengenai kewujudan adendum tersebut. Keputusan itu bagaimanapun dibatalkan awal tahun ini selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk semakan kehakiman.
Sementara itu, istana Pahang telah mengesahkan bahawa Sultan Abdullah telah menitahkan Najib menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.
Sejak dipenjarakan, Najib rata-rata mengelak daripada mengeluarkan kenyataan dari tirai besi mahupun memberikan sebaran ulasan secara langsung mengenai politik.
Bagaimanapun, komen dimuat naik di akaun media sosial rasminya dan juga oleh penyokongnya memberikan gambaran bekas pemimpin itu tidak merestui kerjasama Barisan Nasional dengan Anwar dan gabungan Pakatan Harapan.
Laman Facebook Najib menyiarkan pelbagai kenyataan sinis menyasarkan pemimpin PH yang kini sebahagian daripada Kabinet, sambil mengingatkan mereka mengenai kritikan sebelum ini terhadap pelbagai inisiatif dan dasar beliau yang kini diteruskan selepas dijenamakan semula oleh pentadbiran Anwar.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
