- Iklan -
Berita

Nilai ringgit terus susut berbanding dolar AS

Pada jam 9 pagi, nilai mata wang tempatan turun kepada 4.6140/6155 berbanding dolar AS daripada penutupan semalam pada 4.6100/6120.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Wang kertas Ringgit Malaysia.
Wang kertas Ringgit Malaysia.

Ringgit terus menyusut nilai berbanding dolar AS pada sesi pembukaan urus niaga hari ini selepas dolar disokong oleh kenyataan terbaru daripada pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell mengenai usaha membendung inflasi AS.

Inflasi AS kini meningkat pada kadar terpantas dalam tempoh lebih 40 tahun, kata seorang peniaga.

Pada jam 9 pagi, nilai mata wang tempatan turun kepada 4.6140/6155 berbanding dolar AS daripada penutupan semalam pada 4.6100/6120.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz menjelaskan antara cara paling berkesan untuk memerangi inflasi yang tinggi ialah menaikkan kadar faedah, yang sebaliknya boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi.

“Dengan kadar faedah yang lebih tinggi, isi rumah dijangka berbelanja lebih sedikit, sekali gus mengurangkan pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam nota hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Ringgit menambah nilai berbanding euro kepada 4.4165/4180 dari 4.4321/4340 penutupan semalam dan mengukuh berbanding yen Jepun menjadi 3.1876/1890 dari 3.1925/1941 sebelumnya.

Unit tempatan turut meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2031/2045 dari 3.2099/2117 dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 4.9328/9344 dari 4.9770/9791.