- Iklan -
Berita

Keputusan dalam sistem kewangan: Bank atau kerajaan?

Mereka berkata langkah sedemikian sama seperti memiliknegarakan sistem kewangan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai beratur ketika menggunakan mesin ATM di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Orang ramai beratur ketika menggunakan mesin ATM di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Seorang ahli ekonomi memberi amaran terhadap idea mengalihkan kuasa untuk mencipta wang dari bank perdagangan kepada Parlimen, mengatakan bantahan terhadap langkah sedemikian adalah kerana ahli politik tidak layak untuk diberikan kuasa sedemikian.

"Mereka tidak ada pengetahuan mengenainya," kata Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia.

“Insentif mereka bersifat politik, dan mereka tidak boleh memikul tanggungjawab ini dengan bersungguh-sungguh dan penuh keanjalan yang dituntut (dalam perkara ini).

"Ia sama sahaja seperti meletakkan mahkamah di bawah kawalan ahli politik," katanya sambil menambah bahawa perbahasan mengenai isu ini adalah sebahagian daripada teori dan dasar monetari.

Muhammad Zahid Abdul Aziz, bekas pegawai bank dari Gerakan Keadilan Monetari (MMJ), berkata kuasa untuk mencipta wang perlu diambil daripada institusi kewangan dan diberikan kepada kerajaan di bawah kuasa Parlimen.

Bagaimanapun Williams, seorang felo kanan bukan pemastautin di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata langkah sedemikian sama sahaja seperti nasionalisasi atau memiliknegarakan sistem kewangan.

"Ia akan menghadkan akses kepada kredit bagi pengguna dan perniagaan, dan ia akan memusnahkan inovasi dan perusahaan," katanya.

“Di negara seperti Malaysia, ia terdedah dengan rasuah dan peruntukan berdasarkan pertimbangan bukan komersial seperti etnik dan naungan."

Zahid berpandangan langkah melucutkan kuasa bank perdagangan daripada mencipta wang akan mengurangkan inflasi, namun Williams berkata terdapat kesilapan asas dalam analisis sedemikian.

Pertama, katanya, adalah tidak benar Malaysia mempunyai inflasi yang boleh dielakkan.

Beliau juga mempersoalkan tanggapan bahawa inflasi boleh dikawal dengan mengawal bekalan wang.

"Ketiga, adalah tidak benar penciptaan wang melalui akses kepada kredit dalam sistem kewangan komersial Malaysia adalah berbahaya," katanya.

"Malahan, sebaliknya. Tanpa sistem kewangan komersial, kita akan berada dalam sistem Soviet."

Williams turut menambah sistem diguna pakai ketika ini yang membenarkan bank mencipta wang bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Di Malaysia, katanya, perkara itu selalu berlaku, dengan syarat kuasa sedemikian dikawal oleh bank pusat itu Bank Negara Malaysia (BNM).

“Sudah menjadi peranan bank perdagangan untuk mencipta wang mengikut permintaan pasaran dan pengurusan kewangan yang berhemah. Inilah cara mereka menjalankan perniagaan untuk pendeposit, peminjam dan pemegang saham mereka.

"Tanpa ini, perniagaan dan pengguna tidak akan mempunyai akses kepada kredit, dan kuasa membeli, menjual atau melabur mereka akan sangat terhad,” katanya sambil menambah bahawa BNM mengawal proses ini melalui dasar monetari, termasuk penciptaan asas wang, wang kertas dan syiling.

Langkah-langkah lain termasuk pengurusan harga wang dan hutang, kadar dasar semalaman, dan peraturan pengurusan bank.

Williams berkata bank perdagangan mencipta wang kerana sistem perbankan telah ditubuhkan ratusan tahun dahulu sebelum bank pusat atau pihak berkuasa monetari mula wujud.

Katanya lagi, bank akan mengambil deposit dan meminjamkannya pada kadar faedah tertentu bagi membayar balik pendeposit mereka dan membayar pemegang saham bagi kos menguruskan bank.

“Pinjaman diberikan kepada pemohon yang berdaya maju berdasarkan penilaian komersial bahawa mereka boleh dibayar balik daripada aktiviti ekonomi,” katanya.

"Setiap pinjaman mencipta deposit lain yang boleh dipinjamkan semula, jadi akan dapati kesan berganda yang menghasilkan lebih banyak wang daripada deposit asal."

Ketika dihubungi MalaysiaNow, Zahid mempertahankan cadangannya mengenai pihak berkuasa monetari pusat, berkata badan seperti itu harus dianggotai oleh mereka yang terbaik dan paling bijak, bebas daripada campur tangan kerajaan.

“Wang yang diperlukan kerajaan dikemukakan dalam bentuk bajet oleh Kementerian Kewangan dan dibahaskan untuk kelulusan di Parlimen,” katanya.

"Apabila diluluskan, wang kemudian diwujudkan dan diserahkan kepada bank pelaburan negara, untuk diarahkan sepenuhnya kepada ekonomi sebenar. Bank ini juga boleh dibuat untuk membuat laporan kepada Parlimen."

Berhubung kenyataan Williams mengenai kredit, beliau berkata kekurangan akses kepada kredit bagi perniagaan adalah asas kepada pembaharuan wang.

"Di Malaysia, purata 65% pinjaman dan pembiayaan pergi ke sektor pinjaman peribadi, kad kredit dan perumahan manakala hanya 35% pergi ke ekonomi sebenar bagi mewujudkan hasil ekonomi dan pekerjaan," katanya.

"Adakah kita lebih suka keadaan ketika ini di mana hanya 16% pinjaman diberikan oleh bank swasta?"

Zahid juga mempersoalkan pendekatan bank pusat terhadap inflasi, mencadangkan bahawa sasaran sepatutnya adalah untuk menghapuskan inflasi sepenuhnya dan bukan hanya mengawalnya.

Williams menegaskan bahawa BNM telah mewujudkan kestabilan dan mengawal selia proses penciptaan wang oleh bank perdagangan, namun MMJ berkata bank pusat itu gagal mengawal selia sistem perbankan.

Pengerusi MMJ Ahamed Kameel Mydin Meera juga berkata BNM gagal dalam peranannya menguruskan ekonomi melalui kawalannya terhadap kadar dasar semalaman.

"Mengawal inflasi dan kadar pertukaran ringgit adalah antara fungsi asasnya. Namun lihat pada inflasi ketika ini.

"Jika sekeping roti canai berharga 10 sen pada awal 1970-an, kini ia berharga kira-kira RM2 – peningkatan 1,900%. Jadi apakah peranan BNM sebenarnya?

“Apa yang kita lihat ialah BNM melindungi bank dengan mengorbankan rakyat dan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaNow.