- Iklan -
Berita

Jumlah trafik penumpang udara dijangka cecah 49 juta akhir tahun ini

Jumlah trafik penumpang udara meningkat 574.6% dalam tempoh lima bulan pertama 2022 mencapai kira-kira 16.3 juta penumpang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kapal terbang kelihatan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.
Sebuah kapal terbang kelihatan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

Malaysia dijangka mencatatkan jumlah trafik penumpang udara antara 32.6 juta dan 49 juta penumpang menjelang hujung tahun ini berikutan pertumbuhan positif ditunjukkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Beliau berkata statistik Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menunjukkan jumlah trafik penumpang udara negara meningkat 574.6% dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lepas, iaitu mencapai kira-kira 16.3 juta penumpang.

Berucap pada majlis pelancaran Program Keselamatan Penerbangan Kebangsaan (SSP) hari ini, Wee berkata jumlah pergerakan pesawat bagi enam bulan pertama tahun ini adalah 288,076 pergerakan.

Menurutnya bagi jumlah trafik kargo udara untuk tahun ini pula, dijangka berkembang antara 3.9% dan 6.7% berbanding 2021, iaitu antara 21.5 bilion hingga 22 bilion tan kargo setiap kilometer (FTK).

Memetik data Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), beliau berkata jumlah penumpang udara akan pulih sepenuhnya paling awal menjelang 2024 bergantung kepada situasi semasa di rantau ini.

Katanya berdasarkan perkembangan positif itu, Kementerian Pengangkutan optimis untuk membangunkan sektor penerbangan bagi memulihkan industri pelancongan negara.

"Pengangkutan udara yang efisien, menepati waktu, selamat dan boleh dipercayai akan menjadi faktor utama pemacuan ekonomi dan sosial Malaysia," katanya.