- Iklan -
Berita

Sultan Selangor sokong kenyataan Agong tentang pengampunan

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyatakan sokongan terhadap titah Agong mengenai prinsip kehakiman keadilan Islam.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Gambar: Facebook

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ni menyatakan sokongan padu terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, mengatakan kuasa pengampunan tidak boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya.

Dalam sebuah kenyataan, Sultan Sharafuddin bertitah proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut Perlembagaan dan undang-undang.

“Rakyat perlu memahami bahawa proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang telah diperuntukkan,” titahnya.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan badan eksekutif agar sentiasa mendukung prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak daripada sebarang cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran kehakiman dalam negara.

“Kebebasan badan kehakiman memerlukan sokongan, dokongan, kefahaman dan iltizam dari semua pihak terutama dari pihak eksekutif. 

“Sehubungan dengan itu, beta menyeru semua pihak berganding bahu dengan mengambil langkah-langkah ke arah mempertahankan dan menjamin kebebasan badan kehakiman demi kesejahteraan dan kemakmuran negara,” titahnya lagi.

Pada 5 September, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa keadilan Islam tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa yang melakukan kesalahan, sama ada diri sendiri, teman rapat, ahli keluarga mahupun ibu dan bapa.

“Prinsip keadilan yang telus lagi terbuka turut berjaya membangunkan satu masyarakat yang adil, saksama, makmur dan sejahtera. 


 “Prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan,” titah Sultan Abdullah.

Isu pengampunan diraja hangat diperkatakan selepas bekas perdana menteri Najib Razak memfailkan petisyen pengampunan di bawah Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan pada awal September.

Beliau kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun selepas disabitkan bersalah menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.