- Iklan -
Berita

Khairy sahkan Pak Lah hidap penyakit demensia

Menteri kesihatan itu berkata keadaan perdana menteri kelima Abdullah Ahmad Badawi makin merosot sehingga tidak dapat menyebut nama ahli keluarganya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi. Gambar: Facebook
Bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi. Gambar: Facebook

Bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi menghidap demensia, dedah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. 

Khairy berkata pendedahan penyakit bapa mentuanya itu dibuat selepas berbincang dengan ahli keluarga lain kerana ramai bertanya mengenai kesihatan Abdullah atau lebih mesra dengan panggilan Pak Lah.

"Pak Lah memang ada demensia dan demensia beliau satu keadaan yang sedang merosot (dan) sudah pasti nama ahli keluarga pun dia tak boleh nak sebut... Kenal tu mungkin dia kenal, nampak macam kenal tetapi dah sampai tahap di mana dia susah untuk bercakap. 

"Saya tanya isteri saya, ibu mentua saya dan abang ipar saya tadi. Saya kata, ada yang tahu dan ada yang tidak tahu boleh tidak saya beritahu (keadaan Abdullah kepada umum)?," katanya dalam sidang media semalam.

Khairy berkata demikian pada Majlis Pelancaran Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) di Sheraton Imperial.

“Saya tidak pernah berkongsi perkara ini sebelum ini. Ramai di antara anda, mungkin tertanya-tanya keberadaan perdana menteri kelima itu. Demensia adalah penyakit yang getir kerana umpama mempunyai kehadiran fizikal tetapi fikirannya tiada.

“Saya lihat keadaan bapa mentua saya semakin merosot selepas bertahun-tahun, anda tidak dapat lagi melihat beliau di khalayak ramai kerana penyakitnya itu dan beliau tidak dapat berfungsi dengan normal. 

“Beliau tidak dapat mengingati nama saya, nama isteri saya. Saya tahu beliau masih mengenali saya apabila melihatnya mengerdipkan mata apabila saya melawatnya.

“Sekarang bagi kami, pengurusan penjagaannya adalah mencabar. Saya lihat bagaimana kesukaran ibu mentua saya,” kata Khairy sambil menambah bapa mentuanya kini berkerusi roda. 

“Lebih banyak hari yang sukar berbanding hari yang lancar,” katanya.

Khairy turut mendedahkan perkara itu dalam ciapannya bahawa amat mencabar bagi seluruh keluarga melihat kemerosotan kognitif Pak Lah. 

“Ada yang sedar tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Keluarga telah memutuskan untuk berkongsi secara terbuka bagi memberi penerangan tentang demensia dan gangguan kognitif,” katanya di Twitter beliau.

Pada majlis itu, beliau berkongsi bahawa keadaan itu sukar bagi keluarga namun mereka bernasib baik kerana mereka boleh mendapatkan khidmat petugas profesional.

Beliau berkata pesakit demensia apabila keadaan semakin merosot, mereka memerlukan penjagaan berterusan bagi memastikan keselamatannya terpelihara dan adalah satu keperluan untuk mendapatkan khidmat penjaga profesional.

“Kami bernasib baik kerana mampu berbuat demikian. Bayangkan orang yang tidak berkemampuan. Demensia tidak mendiskriminasi. Ia memberi kesan kepada semua orang.

“Saya rasa ini adalah masanya dan (acara hari ini)  mempengaruhi saya kerana untuk membangunkan kertas putih kesihatan bagi memperkasakan dan melabur dalam penjagaan domisiliari komuniti juga,” kata Khairy.