- Iklan -
Berita

Kerajaan bincang cadangan pemberian moratorium kepada PKS

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata perbincangan itu akan melibatkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan mengambil barangan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Kerajaan sedang membincangkan cadangan moratorium terhadap perniagaan kecil dan sederhana dalam negara.
Seorang pelanggan mengambil barangan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Kerajaan sedang membincangkan cadangan moratorium terhadap perniagaan kecil dan sederhana dalam negara.

Kerajaan akan membincangkan cadangan pemberian moratorium kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan kementerian berkaitan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata perbincangan itu akan melibatkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. 

“Kita bincang. Saya tak boleh jawab macam itu sahaja. Kita akan bincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Menteri Kewangan,” katanya selepas majlis pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yasin yang  mencadangkan pemberian moratorium kepada PKS terutama mereka yang masih bergelut untuk pulih semasa pasca Covid-19.

Muhyiddin sebelum ini mencadangkan pemberian moratorium kepada PKS memandangkan sektor itu belum pulih sepenuhnya dan ditambah dengan peningkatan kadar dasar semalaman (OPR).