- Iklan -
Berita

Muhyiddin gesa kerajaan beri moratorium khas kepada industri kecil

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu berkata sektor PMKS belum pulih sepenuhnya dan peningkatan kadar OPR akan menyebabkan mereka menanggung hutang yang lebih tinggi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan memberikan moratorium khas kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar polisi semalaman (OPR) baru-baru ini.

Katanya, sektor PMKS masih belum pulih sepenuhnya dan peningkatan kadar OPR akan menyebabkan mereka menanggung hutang yang lebih tinggi.

“Seperti mana pelaksanaan moratorium sebelum ini, bank-bank di negara kita tidak mengalami kerugian pun,” kata Muhyiddin dalam sebuah hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini.

“Jadi apalah salahnya kerajaan sekali lagi berbincang dengan institusi-institusi kewangan supaya memperkenalkan moratorium khas untuk PMKS.”

Pada 8 September, BNM mengumumkan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5%.

Sementara pada Mei, BNM mengumumkan kenaikan sebanyak 25 mata asas kepada 2% sebelum dinaikkan sekali lagi kepada 2.25% pada Julai. 

Pemain industri mengatakan kenaikan OPR ini bakal menjejaskan sektor PMKS. 

Muhyiddin berkata, sektor PMKS penting kerana ia mewakili hampir 96% kegiatan ekonomi negara. 

“Ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan.

“Hampir 50% tenaga kerja di Malaysia bekerja dalam sektor ini,” katanya.