- Iklan -
Berita

Kenaikan OPR bakal jejaskan perniagaan kecil

Sesetengah PKS berkata kenaikan kadar dasar semalaman hanya mengurangkan lagi kuasa beli ketika pengguna semakin kurang berbelanja dan beralih kepada alternatif lebih murah.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan menunggu di luar kedai barang peralatan dan perkakasan di Shah Alam, Selangor.
Seorang pelanggan menunggu di luar kedai barang peralatan dan perkakasan di Shah Alam, Selangor.

Keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang direkodkan meningkat kepada 8.9% suku kedua tahun ini berbanding 5.0 pada suku sebelumnya merupakan berita yang memberangsangkan untuk ekonomi Malaysia. 

Ia merupakan antara kadar tertinggi di rantau ini. 

Secara keseluruhan, ekonomi berkembang sebanyak 6.9% untuk enam bulan pertama tahun ini. 

Namun di sebalik statistik itu, pemain industri kecil dan sederhana (IKS) berdepan masalah survival dan kelangsungan apabila jualan mereka semakin tidak memberangsangkan. 

Mohamad Jamalee Bashah dari salah sebuah syarikat penerbitan tempatan berkata, penurunan jualan syarikatnya berkurangan sebanyak 50% sejak Disember tahun lepas, yang berpunca daripada beberapa faktor.

"Jangkaan beberapa pakar ekonomi yang mengatakan 2023 akan berlaku kemelesetan besar menyebabkan sikap pengguna lebih kepada berjimat dan menyimpan. 

“Sekuriti pekerjaan yang agak menurun juga membuatkan pengguna berjimat," katanya kepada MalaysiaNow. 

Katanya, tidak dinafikan beberapa bidang IKS masih menikmati jualan yang memberangsangkan, terutama bagi bahan mentah dan makanan. 

Sebaliknya, IKS yang menumpukan barang kemahuan dan kehendak terkesan teruk akibat penjimatan pengguna. 

Katanya, pengguna turut cenderung kepada industri pelancongan dan riadah, kesan daripada perlaksanaan perintah kawalan pergerakan dan penutupan sempadan selama dua tahun. 

"Harga barangan turut meningkat kerana masalah kos operasi dan pengeluaran yang meningkat secara mendadak," tambahnya.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia menaikkan kadar polisi semalaman (OPR) beberapa kali sebelum ini setelah diturunkan 124 mata asas daripada 3% kepada 1.75% semasa pandemik Covid-19 melanda dunia pada 2020. 

Pada Mei, BNM mengumumkan kenaikan sebanyak 25 mata asas kepada 2% sebelum dinaikkan sekali lagi kepada 2.25% pada Julai.  

Semalam, bank pusat itu sekali lagi mengumumkan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5%.

Menurut BNM, langkah itu bertujuan mengawal kadar inflasi negara dengan mengurangkan aliran wang dalam pasaran. 

OPR dijangka meningkat lagi dalam masa terdekat. 

Namun alasan itu, menurut Jamalee, boleh dipertikaikan. 

Ini kerana kadar inflasi meningkat kepada 4.4% meskipun dengan peningkatan OPR. 

"Inflasi yang berlaku sekarang adalah disebabkan permintaan melebihi penawaran kerana harga barangan naik. 

“Menaikkan OPR tidak membantu mengurangkan kos operasi dan masalah supply. Ia hanya mengurangkan kuasa membeli pengguna," katanya. 

Sementara itu, Mohamad Abdullah daripada persatuan penjaja dan peniaga kecil Melayu Wilayah Persekutuan berkata, kenaikan OPR tidak memberi kesan besar kepada penjaja kecil yang tidak mengambil sebarang pinjaman.

"Penjaja kecil terutama penjual makanan dan barangan asas akan terus menerima pelanggan. 

“Jika ada pun, ia melibatkan jualan barangan dari kilang," katanya. 

Katanya, walaupun kenaikan OPR dilihat mengurangkan kuasa beli dan memaksa pengguna berjimat-cermat, mereka masih membeli di tempat-tempat yang lebih murah.

"Ada pun yang terkesan ialah pusat beli-belah dan pasar raya yang sering dikunjungi golongan pertengahan. 

“Namun selepas kenaikan OPR, golongan dan golongan B40 yang berbelanja di tempat-tempat itu beralih ke pasar malam atau gerai milik penjaja kecil," tambahnya.

Menurut Mohamad, terdapat peningkatan permintaan untuk lesen, trak makanan dan tapak berniaga. 

Katanya, ia merupakan perkembangan baik untuk kerajaan apabila semakin ramai menceburi bidang mikro. 

Dalam pada itu, Jamalee berkata selain bantuan kewangan, kerajaan perlu menaikkan “mood” pengguna untuk berbelanja. 

"Apabila kerajaan sendiri menunjukkan tanda-tanda berjimat, mengurangkan peruntukan kepada agensi, aliran tunai akan berkurangan kerana vendor-vendor juga akan kurang projek. 

“Ia mempunyai pengaruh besar terhadap sikap berbelanja pengguna," tambahnya.

Menjelang pembentangan Belanjawan 2023, dia berharap agar kerajaan menyediakan lebih banyak inisiatif untuk tujuan itu, selain bantuan kepada IKS untuk terus beroperasi.