- Iklan -
Berita

Peniaga terima wang menerusi DuitNow QR akan dicaj bermula 1 November

Menurut e-mel yang dihantar oleh sebuah bank, caj akan ditolak daripada akaun semasa atau simpanan pada setiap 5 hari bulan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Pengguna mengimbas kod DuitNow QR untuk membuat pemindahan wang kepada penjual, 26 September.
Pengguna mengimbas kod DuitNow QR untuk membuat pemindahan wang kepada penjual, 26 September.

Peniaga yang menerima wang daripada aplikasi DuitNow QR akan mula membayar caj transaksi bermula 1 November ini. 

Dalam satu e-mel, RHB Reflex memaklumkan penstrukturan harga itu dibuat oleh DuitNow, meliputi semua bank.

Menurut e-mel itu, caj akan ditolak daripada akaun semasa atau simpanan pada setiap 5 hari bulan.

Bahagian khidmat pelanggan RHB Reflex mengesahkan “merchant” atau penjual yang menerima wang menerusi DuitNow QR akan dikenakan caj bergantung kepada mod pemindahan wang.

"Sebanyak 0.25% akan dicaj daripada akaun penjual jika pembayaran dibuat daripada akaun semasa atau simpanan, manakala 0.50% dikenakan untuk pemindahan menerusi kad kredit," katanya kepada MalaysiaNow.

Perkhidmatan DuitNow QR membolehkan pemindahan wang antara bank dan entiti bukan bank menerusi imbasan kod.

Ia ditubuhkan melalui PayNet di bawah Interoperable Credit Transfer Framework BNM.

Sebelum ini, tiada caj transaksi dikenakan untuk pemindahan wang bawah RM5,000. 

Caj sebanyak RM0.50 dikenakan untuk transaksi melebihi amaun RM5,000.

Antara entiti bukan bank yang menggunakan DuitNow QR termasuklah Boost, Grabpay, Setel dan Touch ‘n Go.

Perkara itu turut dimaklumkan oleh khidmat pelanggan Maybank ketika dihubungi MalaysiaNow.

"Caj dikenakan untuk pemindahan antara bank dan aplikasi yang menggunakan khidmat DuitNow.

"Tetapi jika pemindahan wang antara penghantar dan penerima menggunakan Maybank QR, tiada caj dikenakan," katanya.

Sementara itu, khidmat pelanggan CIMB berkata tiada notis oleh CIMB mengenai caj itu buat masa ini.

"Kami belum dapat apa-apa notis menyatakan caj dikenakan kepada pelanggan untuk penggunaan DuitNow QR," katanya.

HSBC pula memaklumkan tiada memo dikeluarkan setakat ini namun akan memaparkan kemas kini di laman sesawang sekiranya caj tersebut mula dikenakan.