- Iklan -
Berita

'Nampak kecil tapi beban besar': Ahli Parlimen ikrar kempen hapuskan caj ATM RM1

Ahmad Fadhli Shaari berkata caj tersebut membebankan golongan miskin untuk menjana keuntungan besar kepada bank.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata caj RM1 untuk pengeluaran ATM antara bank mengeksploitasi golongan miskin.
Pemimpin PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata caj RM1 untuk pengeluaran ATM antara bank mengeksploitasi golongan miskin.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional Ahmad Fadhli Shaari tampil menyatakan sokongannya kepada usaha menggesa kerajaan memansuhkan yuran RM1 yang dikenakan bagi setiap pengeluaran ATM antara bank, sambil menyifatkannya satu bentuk eksploitasi terhadap golongan miskin.

"Bayangkan, caj RM1 dikenakan pada setiap pengeluaran antara bank di mesin ATM serta berapa banyak keuntungan yang terkumpul oleh sistem perbankan dalam sehari akibat sistem kapitalis ini," katanya.

"Kita akan mendorong kerajaan untuk menghapuskan caj tersebut supaya tidak membiarkan sistem kapitalis ini terus mengeksploitasi rakyat Malaysia."

Ahmad Fadhli Shaari.
Ahmad Fadhli Shaari.

Fadhli berkata walaupun bayaran itu "nampak kecil", ia menjana keuntungan besar kepada bank dengan memerah golongan miskin.

"Ia adalah sistem yang nampaknya memberi manfaat secara tidak seimbang kepada golongan kaya atas kos golongan yang bergelut, dan sudah tiba masanya untuk perubahan."

Menurut Fadhli, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) yang mengenakan yuran itu meraih pendapatan RM544 juta dan keuntungan bersih RM271 juta pada 2023 sahaja.

"Sejak penubuhannya, yuran ini telah menyumbang kepada keuntungan terkumpul sebanyak RM1.43 bilion.

"Walaupun PayNet berbangga dengan pemprosesan trilion ringgit dalam transaksi, hakikatnya keuntungan ini dibina di atas belakang rakyat Malaysia setiap hari, terutamanya mereka dalam kumpulan pendapatan B40 dan M40," katanya.

Pada 2020, kerajaan di bawah perdana menteri Muhyiddin Yassin menghapuskan yuran tersebut ketika kemuncak krisis Covid-19, yang merupakan antara langkah mengurangkan beban kewangan akibat pandemik itu.

Fadhli menyifatkan pengembalian semula yuran itu pada 2022 sebagai "langkah ke belakang".