- Iklan -
Berita

Khairy gelar Anwar 'menteri kewangan sambilan'

Ini berikutan kontroversi bahawa peniaga akan dikenakan caj transaksi untuk pembayaran yang diterima melalui platform DuitNow QR.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini menggelar Anwar Ibrahim sebagai "menteri kewangan sambilan", kritikan terbarunya terhadap perdana menteri yang memegang portfolio penting tersebut.

Khairy berkata demikian semasa membincangkan isu kontroversi DuitNow QR dalam Keluar Sekejap, podcast yang dihoskan bersama Shahril Hamdan sejak kedua-dua individu tersebut itu terkeluar daripada barisan kepimpinan Umno awal tahun ini.

Beliau berkata, kontroversi mengenai caj transaksi terhadap peniaga yang menggunakan kod QR sebagai mod pembayaran tanpa sentuh daripada pembeli sebenarnya boleh dielakkan.

"Dan dalam keadaan di mana tidak ada menteri kewangan sepenuh masa, ada menteri kewangan sambilan, saya rasa benda-benda remeh macam ini sepatutnya tidak menjadi masalah yang membebankan kerja perdana menteri sambilan kita ini," kata Khairy.

DuitNow QR ialah perkhidmatan pembayaran digital diperkenalkan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), sebuah syarikat gabungan beberapa bank komersial utama, dengan Bank Negara Malaysia sebagai pemegang saham majoriti.

Tindakan Anwar melantik dirinya sebagai menteri kewangan akhir tahun lalu dikecam secara meluas sebagai satu lagi perubahan beliau. 

Satu ketika dahulu, gabungan Pakatan Harapan (PH) dipimpinnya menggesa agar jawatan itu tidak dipegang oleh perdana menteri, dan berhujah kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berlaku sewaktu pentadbiran Najib Razak yang ketika itu memegang jawatan perdana menteri dan menteri kewangan.

Sementara itu, Khairy dalam podcast edisi hari ini berkata terdapat perbincangan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi khuatir dengan sebarang cubaan untuk melantik Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani sebagai menteri kewangan kedua, di tengah-tengah jangkaan rombakan Kabinet.

Beliau berkata inilah sebabnya Zahid mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan semula Kementerian Wilayah Persekutuan, dengan harapan Johari, yang dilihat tidak setia kepada presiden Umno, akan diberikan jawatan itu.