Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada kerabat diraja Britain atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan melalui laman Facebook Istana Negara, Baginda berdua bertitah baginda akan dikenang kerajaan dan rakyat Malaysia atas komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada Komanwel yang menjadi kebanggaan Malaysia dan usaha baginda untuk menggalakkan hubungan yang lebih kukuh antara United Kingdom dan Malaysia.
“Seri Paduka Ratu Elizabeth II juga akan dikenang atas dedikasi baginda kepada rakyat dan kerajaan United Kingdom serta keprihatinan baginda yang mendalam terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Ingatan dan doa dititipkan kepada kerabat diraja dan rakyat Britain yang turut merasai kesedihan atas kemangkatan Seri Paduka Ratu Elizabeth II,” menurut kenyataan itu.
Mengimbau kembali kenangan bertemu Ratu Elizabeth II, Baginda berdua telah berangkat mengadakan kunjungan hormat dan menghadiri majlis santapan tengah hari bersama Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham, London pada 13 Disember 2019.
Kunjungan hormat dan majlis santapan tengah hari itu bersempena lawatan khas tujuh hari ke England yang bermula pada 9 Disember 2019.
Ratu Elizabeth II pernah melawat Malaysia tiga kali pada 1972 (Lawatan Khas), 1989 (Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel ke-11) dan 1998 (Sukan Komanwel ke-16).
Terdahulu, dilaporkan Ratu Elizabeth II, Raja Britain paling lama menduduki takhta, mangkat pada usia 96 tahun di Istana Balmoral di Scotland semalam.