- Iklan -
Berita

PN persoal usul bahas Laporan Audit Negara 2021

Ketua Whip PN, Takyiuddin Hassan menegaskan bahawa usul itu bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat dan Perlembagaan Persekutuan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan bercakap pada sidang media bersama ahli Parlimen Perikatan Nasional yang lain di lobi Parlimen, 6 Jun.
Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan bercakap pada sidang media bersama ahli Parlimen Perikatan Nasional yang lain di lobi Parlimen, 6 Jun.

Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) hari ini mempersoalkan usul yang dibawa oleh kerajaan untuk membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 secara terbuka di Dewan Rakyat.

Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan berkata, usul itu bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat dan Perlembagaan Persekutuan, malah LKAN tidak pernah dibahaskan di Dewan Rakyat sebelum ini.

Beliau yang merujuk kepada Perkara 107(1) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa ketua audit negara hanya perlu mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong dan laporan itu hendak dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.

"Tidak ada peruntukkan yang menyatakan laporan ketua audit boleh dibahaskan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

"Tetapi saya ingin mengingatkan, kalau tidak ada undang-undang  bertulis, ia dipanggil sebagai satu amalan. Amalan sepanjang ini dalam Parlimen, LKAN tidak pernah dibahaskan."

"Justeru kami mencadangkan usul ini tidak dibahaskan."

Sementara itu, Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee berkata, usul tersebut seperti menindakkan tugas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang sepatutnya bertanggungjawab meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya ekoran daripada dapatan LKAN.

Katanya, daripada mengemukakan usul yang bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat, kerajaan sepatutnya menggunakan kesempatan bersidang di Parlimen untuk membawa usul yang memanfaatkan rakyat, termasuk isu yang dibangkitkan daripada pihak kerajaan.

"Itu tugas mereka (PAC). Panggil saksi, ketua setiausaha dan pegawai kementerian untuk membuat prosiding. Usul ini menidakkan tugas PAC," tambah beliau.

Dewan Rakyat bertukar kecoh seketika apabila dua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) iaitu Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mendakwa pihak pembangkang takut untuk membahaskan LKAN di Parlimen.

Malah, tindakan Rayer turut mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan wakil rakyat pembangkang apabila menuduh PN enggan membahaskan laporan itu kerana terdapat ketirisan yang berlaku ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin pada 2021.

Tindakan itu turut menyebabkan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim menggelar Rayer sebagai "bodoh" dan menyifatkan tuduhan pemimpin DAP itu sebagai satu sangkaan jahat.

Dewan Rakyat kembali terkawal selepas diminta bertenang oleh Speaker Johari Abdul yang kemudiannya bersetuju supaya usul bahawa LKAN 2021 dibahaskan di Parlimen.