- Iklan -
Berita

Pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup tidak lagi wajib

Bagaimanapun, pemakaiannya tetap diwajibkan di kemudahan kesihatan dan pengangkutan awam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berjalan dalam pusat beli-belah di Kuala Lumpur dengan memakai pelitup muka bagi mengelak jangkitan Covid-19.
Orang ramai berjalan dalam pusat beli-belah di Kuala Lumpur dengan memakai pelitup muka bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup tidak lagi wajib berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Bagaimanapun, beliau menambah pemakaian pelitup muka masih lagi diwajibkan di kemudahan kesihatan seperti hospital, klinik, rumah jagaaan dan pengangkutan awam dan kepada mereka yang dijangkiti Covid-19. 

Bagi individu berisiko tinggi, digalakkan untuk meneruskan pemakaian pelitup muka. 

Manakala pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau tidak.

Dalam sebuah kenyataan, Khairy berkata kementeriannya menggalakkan penggunaan pelitup muka di kawasan ramai orang seperti pasar malam, stadium, pusat beli-belah dan rumah ibadat.

Bagi yang mengalami gejala seperti demam dan batuk juga turut digalakkan memakainya, selain individu yang terlibat dalam aktiviti bersama golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga emas.
 
"Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi Covid-19 di dalam dan luar negara, serta memastikan perkhidmatan kesihatan kekal dalam keadaan optimum bagi menjaga kesejahteraan rakyat dalam menghadapi Covid-19," katanya. 

“Kelonggaran sekatan tidak bermakna orang ramai boleh mengambil mudah mengenai risiko jangkitan."

Putrajaya mewajibkan pemakaian pelitup muka pada 1 Ogos 2020 ketika kemuncak pandemik Covid-19 di mana setakat ini telah meragut 36,255 nyawa dan menjangkiti 4.7 juta orang di seluruh negara.

Namun pemakaiannya dilonggarkan pada 1 Mei sebagai sebahagian daripada langkah ketika  negara masuk ke fasa endemik.

Dalam kenyataannya hari ini, Khairy berkata KKM telah berbincang berhubung usul dan syor mengenai pengurusan vaksin Covid-19 pada 3 Ogos lalu.

Beliau berkata wanita mengandung yang berisiko akibat Covid-19 juga boleh menerima dos penggalak kedua sepanjang tempoh mengandun, selari dengan syor Pusat Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kumpulan tersebut.

Sementara itu, kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun yang mempunyai penyakit komorbiditi atau mereka yang lemah imuniti tubuh boleh diberi dos penggalak selepas enam hingga sembilan bulan selepas menerima dos akhir.