- Iklan -
Berita

Saya tak guna dana Yayasan Akalbudi untuk kepentingan peribadi, kata Zahid

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata dana yayasan itu digunakan untuk aktiviti yang dibenarkan dalam memorandum dan artikel persatuan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak menyeleweng dana Yayasan Akalbudi (YAB) untuk kepentingan peribadi walaupun beliau adalah pengasas yayasan itu.

Zahid, 69, berkata dana yayasan itu digunakan untuk aktiviti-aktiviti yang dibenarkan seperti dalam memorandum dan artikel persatuan (M&A) atau objektif YAB.

“Saya tidak boleh menggunakan dana yayasan itu untuk kepentingan peribadi,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya, Hamidi Mohd Noh semasa membela diri atas 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah (CBT), lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana YAB.

Semasa disoal seorang lagi peguamnya Ahmad Zaidi Zainal mengenai sama ada bekas timbalan pengarah urusan Datasonic Group Berhad Chew Ben Ben memberitahu tujuan cek RM6 juta diserahkan, Ahmad Zahid menjawab “sumbangan politik”.

Zaidi: Mengapa sumbangan daripada Datasonic yang Datuk Seri (Zahid) terima masuk ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co dan tidak buat aktiviti politik daripada sumbangan itu?

Zahid: Yang Arif, sebarang sumbangan politik walaupun untuk aktiviti peribadi saya sebagai ahli politik, saya masukkan (sumbangan) ke dalam akaun Lewis & Co sebagai pemegang amanah (YAB) adalah untuk disalurkan kepada aktiviti-aktiviti yang dibenarkan sebagaimana terdapat dalam M&A untuk tujuan atau objektif YAB.

Pada prosiding sebelum ini, Zahid memberitahu mahkamah bahawa dua cek berjumlah RM6 juta yang diterimanya daripada Chew adalah sumbangan politik ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri dan bukannya rasuah.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.